Reman suspek kes bunuh ibu dan anak disambung seminggu lagi

Reman suspek kes bunuh ibu dan anak disambung seminggu lagi

am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Perintah reman terhadap tiga lelaki warga Nepal, termasuk suspek utama dalam kes pembunuhan kejam seorang ibu dan anak perempuannya di Juru pada 18 Oktober lalu, disambung seminggu lagi.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit terhadap semua suspek, mulai esok hingga 7 November ini bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Terdahulu, semua suspek yang berusia antara 28 hingga 40 tahun, tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 9 pagi dalam keadaan bergari dan berpakaian lokap polis.

Semalam, media melaporkan pembunuhan wanita dan anak perempuannya yang mayat mereka ditemui di rumah di Kampung Sekolah Juru, dipercayai berpunca daripada perasaan dendam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kesimpulan itu dibuat susulan penahanan suspek utama, seorang lelaki Nepal berusia 35 tahun yang ditahan di Selangor pada 24 Oktober lalu.

“Berdasarkan siasatan, pembunuhan ibu dan anak itu dipercayai bermotifkan dendam suspek terhadap wanita terbabit.

“Kami percaya dengan penahanan suspek yang bekerja di sebuah kilang itu berjaya menyelesaikan kes pembunuhan membabitkan ibu dan anak ini,” katanya.

Namun, Azizee berkata, beliau tidak dapat mendedahkan butiran lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

Kertas siasatan yang lengkap akan diserahkan kepada pejabat pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian pada 18 Oktober itu, Sariya Che Hin, 51, dan anak perempuannya Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, ditemui mati dalam keadaan mengerikan di rumah sewa mereka.

Mayat Sariya ditemui di dapur dengan kepalanya hampir putus, manakala anak perempuannya dijumpai berlumuran darah di tingkat atas rumah separuh kayu berkenaan.

Mayat mereka ditemui oleh suami Sariya pada jam 7.30 malam.

Susulan kejadian itu, polis menahan tiga lelaki termasuk suami wanita terbabit bagi membantu siasatan, namun dua daripada mereka termasuk suami mangsa dibebaskan dengan jaminan mahkamah pada 25 Oktober lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top