Munich, Jerman: Rembatan kencang minit ke-63 daripada Jamie Leweling membolehkan Jerman menang 1-0 ke atas Belanda di Munich dan mara ke suku akhir Liga Negara Negara, awal pagi tadi.
Penyerang Stuttgart itu tampil kali pertama di peringkat antarabangsa selepas rakan sepasukan Deniz Undav mengalami kecederaan ketika sesi pemanas badan.
Leweling hampir membuka tirai jaringan pada awal babak pertama tetapi dibatalkan akibat ofsaid sebelum meledak rembatan roket susulan sepakan sudut Joshua Kimmich.
Menurut Leweling kepada media Jerman “kami menang sebagai satu pasukan, saya jaringkan gol, kami menang 1-0 tetapi kami beraksi dengan baik dan saya gembira dapat bantu pasukan.
“Belanda pasukan handal tetapi kami juga bermain dengan mantap. Kami manfaatkan peluang yang kami dapat.”
Kapten Kimmich memberitahu wartawan, mereka bangga dapat mengatasi masalah krisis kecederaan dalam pasukan.
“Hanya tiga pemain di atas padang berbanding lima minggu lalu ketika seri 2-2 di Belanda. Anda dapat lihat kegembiraan kami, betapa bangganya kami dengan prestasi hari ini.
“Kami mempunyai ramai pemain baharu dan beberapa pemain muda. Malangnya banyak kecederaan tetapi anda tidak perasan perbezaannya.
“Jamie tampil hebat perlawanan pertamanya. Jarang Allianz Arena memberikan penghormatan seperti itu. Dia melakukannya dengan sangat baik.”
Sementara itu, kapten Belanda Stefan de Vrij memberitahu UEFA “ia perlawanan yang bukan kami mahukan. Kami tahu Jerman pasukan sangat kuat. Kami perlu analisa dan memperbaiki kelemahan.
“Kami yakin dengan peluang kami di kejohanan ini. Bulan depan sangat penting terutamanya aksi menentang Hungary tetapi kami akan kekal positif dan menang baki perlawanan.”
© New Straits Times Press (M) Bhd