'Remehkan bantuan RM100 umpama perlekeh golongan miskin yang memerlukan' – Ramanan

'Remehkan bantuan RM100 umpama perlekeh golongan miskin yang memerlukan' – Ramanan

am@hmetro.com.my

Butterworth: Tindakan pembangkang meremehkan bantuan ‘one off’ kerajaan di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 dilihat bukan saja memperlekehkan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya golongan miskin yang memerlukan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan, berkata golongan memerlukan mempunyai hati dan perasaan yang sepatutnya mereka yang berkemampuan perlu ada rasa belas kasihan serta rasa bersalah apabila berbicara sedemikian.

Katanya, bagi golongan kaya sememangnya mereka tidak langsung memahami betapa besarnya nilai RM100 yang diberikan itu.

“Kalau kita lihat, satu keluarga RM100 itu kalau dia orang kaya, dia T20 memanglah itu dia akan perlekehkan, tetapi tahu tak negara ini berapa banyak orang di dalam golongan B40, tahu tak berapa besar RM100 itu.

“Jangan jadikan jenaka dengan kesusahan orang lain, tolonglah ada rasa belas kasihan dan bersalah bila bercakap.

“Bila pembangkang buat macam itu, dia bukan memperlekehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi memperlekehkan orang miskin,” katanya ketika diminta mengulas berhubung tindakan pembangkang yang memperlekehkan bantuan SARA RM100 oleh kerajaan.

Terdahulu, beliau ditemui pemberita selepas Majlis Taklimat dan Penyerahan Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) 2.0 di sebuah hotel di Seberang Jaya, di sini, malam ini.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata, bantuan seumpama itu amat diperlukan dan dinantikan bagi mereka yang memahami walaupun nilainya kecil.

“Bagi orang yang kaya, pembangkang mereka semua kaya, memang tak faham RM100 itu besar ke tak. RM100 itu boleh beri berapa kilogram beras, berapa ayam boleh beli.

“Jadi kita kena fahamlah, kalau bagus, inisiatif bagus kita kena cakap bagus. Kalau tak bagus, cakap tak bagus,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ramanan berkata, program PENN2.0 memberi manfaat kepada 7,074 wanita India di seluruh negara dengan jumlah pembiayaan mencecah RM48.3 juta setakat ini.

“Di Pulau Pinang sahaja, seramai 214 usahawan wanita India menerima pembiayaan PENN membabitkan jumlah RM1.23 juta.

“Daripada jumlah keseluruhan, lebih 1,000 adalah usahawan baharu yang berjaya memulakan perniagaan pertama mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top