Remy Ishak dah tak percaya dialog cinta -“Ada uban, takkanlah nak berlakon cintan-cintun lagi..”

Remy Ishak dah tak percaya dialog cinta -“Ada uban, takkanlah nak berlakon cintan-cintun lagi..”

Aktor berbakat besar yang juga terkenal dengan jolokan Hero Malaya, Remy Ishak, sekarang lebih selektif dalam watak drama.

Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 44, berkata dirinya rasa tiada kelainan dalam karier seni sekiranya masih membawa watak lelaki romantik.

“Sudah berbelas tahun saya jadi pelakon. Kalau asyik bawa watak lelaki romantik, penjaga ini, itu, rasa macam tak ada kelainan dalam karier saya.
“Saya pun dah ada uban sikit-sikit. Takkanlah nak berlakon drama cintan-cintun lagi. Saya dah tak boleh. Saya dah tak percaya dengan dialog-dialog dalam drama sebegitu. Bila sebut dialog yang sama 100 kali, saya dah tak percaya.
“Jadi buat masa sekarang, saya rasa lebih baik rileks dulu. Melainkan kalau ada drama berkisarkan kekeluargaan yang sesuai dengan umur dan status saya sebagai seorang bapa, mungkin saya terima. Kalau nak saya jadi budak kolej, baru nak lafaz ayat cinta, lebih baik tawarkan kepada pelakon lain yang lebih muda,” ujarnya.

Selain drama, Remy kini lebih fokus kepada filem, terutama yang ada babak aksi atau genre seram.

“Alhamdulillah banyak tawaran filem sejak kebelakangan ini. Kebanyakannya cerita seram pula tu.
“Macam sekarang filem Mikael Pemburu Dua Alam sedang ditayangkan. Saya suka naskah ini kerana ada babak aksi. Sudah lama saya tidak terlibat dengan filem aksi,” katanya.

Sebelum ini, Remy berehat lama kerana tidak jumpa skrip yang menarik minatnya.

“Saya tengok ramai pelakon terlibat dengan filem aksi. Saya tertanya-tanya kenapa saya tak dapat tawaran sebegitu. Jadi bila Zahir Omar tawarkan Mikael Pemburu Dua Alam, saya terus bersetuju kerana jalan ceritanya unik,”ujar beliau.

Artikel lain: Remy Ishak kongsi tips mandi garam, elak aura negatif – “Ilmu ini dapat waktu saya kemurungan”

Tambah pemenang Trofi Pelakon Filem Lelaki Terbaik Anugerah Skrin ke-15 itu, pengalaman beliau melalui ujian disihir beberapa tahun lalu juga mendorong minatnya pada naskah seram.

“Saya pernah lalui fasa depresi. Gangguan-gangguan itu membuat saya rasa cerita sebegini dekat dengan pengalaman saya.
“Alhamdulillah kini tiada sebarang gangguan. Ketika penggambaran pun tiada masalah. Cuma cuaca panas sampai kena strok haba dan kena tahan di hospital,” kongsinya.

Sumber: Kosmo! Online (Helmi Anuar)

Scroll to Top