syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Datuk Remy Ishak berkongsi mengenai amalan mandi menggunakan garam untuk membuang ion negatif dalam tubuhnya.
Remy, 43, berkata amalan itu dilakukan kerana pengalaman peribadi di samping terbukti secara saintifik.
“Saya bercakap berdasarkan pengalaman sebab saya pun pernah melalui pengalaman begitu iaitu penyakit ain.
“Kalau kita berada dalam dunia yang terdedah kepada umum, perkara ini, secara saintifiknya, kalau kita ada banyak ion negatif dalam badan, garam memang banyak membantu sama ada kamu minum, rasa, atau mandi.
“Garam itu perlu dalam badan dan secara saintifik pun terbukti,” katanya ketika ditemui di sidang media drama bersiri Sumpah Ibuku, di sini, semalam.
Menurut Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, banyak faktor yang mendorong kepada wujudnya ion negatif antaranya, apa yang berlaku di media sosial.
“Itulah amalan saya, maksudnya bila ada rasa tertekan. Sebab kadang-kadang saya tak nafikan, di media sosial kita terkena dengan benda-benda negatif atau bila kita keluar, orang melihat gambar, bercakap, bersangka tak baik.
“Itu mendatangkan ion negatif juga kepada diri kita, kan? Kadang kita rasa, tak tahu kenapa rasa tak selesa dan tiba-tiba emosi rasa tak menentu. Maksudnya, ada sesuatu tak kena.
“Cara terbaik, mandi garam. Rutin saya bergantung juga kepada keperluan. Kalau nak lebih baik, tiga hari berturut-turut,” katanya.
Remy mendapat ilmu mengenai amalan ini selepas berinteraksi dengan pakar psikologi ketika berdepan kemurungan dalam fasa pandemik Covid-19 sebelum ini.
“Dulu ada satu ketika waktu fasa pandemik, saya pernah mengalami kemurungan. Saya berjumpa pakar psikologi, saya dapat ilmu ini daripada mereka,” katanya.
Terdahulu, Remy menulis komen dalam satu hantaran pelakon, Zara Zya di Thread mengenai aura negatif yang menyekat jodoh dan mencadangkan agar pelakon wanita itu amalkan mandi garam dan mandi ais.
Drama Sumpah Ibuku akan ditayangkan di slot Akasia TV3 bermula malam ini. Selain Remy, drama itu turut dibintangi Liza Abdullah, Izara Aishah dan ramai lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




