Singapura: Perlumbaan renang terbuka di kejohanan dunia di Singapura ditangguhkan buat kali kedua kerana kualiti air yang buruk, kata badan induk Akuatik Dunia (WA) hari ini.
Perlumbaan 10 kilometer (km) wanita ditangguhkan sehari ke pagi ini, tetapi penganjur berkata ia kini akan berlangsung pada petang ini ‘tertakluk kepada keputusan ujian yang boleh diterima’.
“Perlumbaan 10km lelaki juga ditangguhkan dari slot asal pagi ini ke petang ini.
WA berkata, ujian air di laluan Pulau Sentosa mendapati tahap kualiti bertambah baik tetapi masih ‘melebihi ambang yang boleh diterima’.
Badan induk itu berkata, semakan ujian lanjut akan berlangsung pada pagi ini.
“Pemantauan dan ujian kualiti air secara berkala berterusan sepanjang tempoh pertandingan untuk memastikan keselamatan atlet, dengan kesihatan dan keselamatan semua peserta terus membimbing semua keputusan berkaitan pertandingan,” kata WA dalam satu kenyataan.
Badan induk itu berkata, semua tiket akan kekal sah untuk sesi yang ditangguhkan dan bayaran balik akan tersedia.
Kualiti air menjadi isu bagi acara yang diadakan di Sungai Seine pada Olimpik Paris tahun lalu.
Daripada 11 hari acara dan latihan yang dijadualkan dalam air keruh itu, hanya lima mendapat lampu hijau.
Sungai itu kekal dibelenggu masalah pencemaran walaupun menelan belanja €1.4 bilion (RM7.1 bilion) untuk menaik taraf sistem kumbahan dan rawatan air Paris.
© New Straits Times Press (M) Bhd