Renjatan elektrik ketika perarakan tokong: Remaja melecur 80 peratus badan

Renjatan elektrik ketika perarakan tokong: Remaja melecur 80 peratus badan

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Seorang daripada tiga remaja yang cedera terkena renjatan elektrik ketika perarakan tokong sayur di Mergong di sini, malam tadi melecur 80 peratus di badan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, manakala dua lagi mangsa melecur 20 dan 40 peratus.

Katanya, remaja 16 tahun yang melecur 80 peratus badan itu masih tidak sedarkan diri dan dirawat di Zon Merah Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

“Manakala dua lagi remaja berusia 17 tahun yang masing-masing melecur 20 dan 40 peratus badan sudah sedarkan diri namun masih dalam pemantauan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Basri berkata, polis menerima maklumat kira-kira 9.20 malam tadi selepas menerima panggilan telefon daripada pegawai penyelaras kawalan perarakan Tokong Sayur penganut Tow Boo Keong iaitu Inspektor Siti Nur Hajidah Haifulizan.

“Pegawai polis terbabit memaklumkan tiga remaja lelaki mengalami kecederaan akibat terkena renjatan elektrik ketika membawa bendera dalam perarakan itu,” katanya.

Katanya, siasatan mendapati, tiga remaja lelaki itu terkena renjatan elektrik apabila tiang bendera yang dibawa mereka tersentuh talian utama bekalan elektrik ketika perarakan berlangsung.

“Hasil temubual dengan salah seorang mangsa mendapati tiang bendera yang dibawa tersentuh talian bekalan elektrik pada ketinggian dianggarkan 10 meter, menyebabkan dia dan dua lagi peserta terkena renjatan elektrik,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan tiga remaja lelaki cedera selepas tiang bendera yang dibawa ketika perarakan tokong sayur terkena talian pencawang elektrik bervoltan tinggi di Mergong malam tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top