Republik Czech sekali lagi menang penentuan sepakan penalti untuk ke Piala Dunia

Republik Czech sekali lagi menang penentuan sepakan penalti untuk ke Piala Dunia

Prague: Sepakan penalti Michal Sadilek membawa Republik Czech ke Piala Dunia selepas mereka menewaskan Denmark 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti susulan keputusan seri 2-2 selepas masa tambahan pada aksi final play-off, awal pagi tadi.

Republik Czech akan beraksi di Piala Dunia buat kali pertama sejak 2006 dan bakal menentang Mexico, Afrika Selatan serta Korea Selatan dalam Kumpulan A kejohanan yang dianjurkan bersama Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico pada Jun serta Julai depan.

Tomas Chory dan Tomas Soucek turut menjaringkan gol buat Czech dalam penentuan sepakan penalti kedua mereka dalam tempoh enam hari, manakala kapten pasukan, Ladislav Krejci gagal menyempurnakan sepakan selepas diselamatkan penjaga gol Denmark, Mads Hermansen.

Bagi pasukan pelawat, Christian Eriksen menjadi satu-satunya penjaring dalam penentuan sepakan penalti, manakala sepakan Rasmus Hojlund terkena palang, Anders Dreyer gagal menewaskan penjaga gol, Matej Kovar dan Mathias Jensen melepaskan rembatan melepasi palang.

“Saya kehilangan kata-kata. Tabik kepada semua orang, saya sangat gembira,” kata Krejci.

“Kalau hendak jujur, kami bukan pasukan yang lebih baik, tetapi kami menunjukkan lebih semangat dan berjuang lebih keras,” tambah pertahanan Wolverhampton itu.

“Mata saya bergenang, sedikit sahaja. Saya amat gembira dan saya mahu berterima kasih kepada pemain,” kata jurulatih Czech, Miroslav Koubek kepada wartawan.

“Kami benar-benar menderita hari ini. Kami bermain sebaik yang kami mampu,” tambah bekas penjaga gol berusia 74 tahun itu.

Dalam cuaca dingin di Prague, Pavel Sulc membuka jaringan buat Czech menerusi voli cantik ke penjuru atas gol pada minit ketiga selepas pertahanan Denmark mengeluarkan bola hasil sepakan penjuru ke arahnya.

Denmark menyamakan kedudukan pada minit ke-72 apabila sepakan percuma Mikkel Damsgaard ditanduk masuk oleh Joachim Andersen.

Krejci sekali lagi meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-100 apabila dia menyambar bola yang ditanduk Soucek dalam situasi kelam-kabut di depan gol susulan hantaran lintang Vladimir Coufal.

Namun, Denmark bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-111 apabila pemain gantian Kasper Hogh menanduk masuk sepakan penjuru Eriksen, hanya enam minit selepas dimasukkan ke padang.

Dalam separuh akhir play-off pada 26 Mac lalu, Czech menewaskan Ireland menerusi penentuan sepakan penalti manakala Denmark mudah membelasah Macedonia Utara, 4-0.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top