London: Manchester United dilaporkan bersetuju untuk menandatangani pemain sayap Cameroon, Bryan Mbeumo daripada Brentford dalam satu perjanjian bernilai £65 juta (RM371 juta) sebagai sebahagian daripada usaha Ruben Amorim untuk merombak barisan serangan pasukan yang tumpul musim lalu.
Mbeumo menarik minat Amorim selepas menjaringkan 20 gol dalam 38 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Brentford musim lalu.
Tottenham yang kini dikendalikan bekas pengurus Brentford, Thomas Frank, turut berminat mendapatkan pemain berusia 25 tahun itu sebelum United memenangi persaingan dengan tawaran lebih tinggi selepas dua bidaan awal ditolak.
United juga akan membayar tambahan £6 juta (RM34 juta) dalam bentuk insentif bergantung kepada prestasi.
Mbeumo dijangka menjalani pemeriksaan perubatan sebelum menyertai skuad ke Amerika Syarikat pada Selasa bagi memulakan jelajah pramusim.
Dia juga akan menjadi pemain ketiga yang dibeli United sejak tamat musim lalu selepas penyerang Wolves, Matheus Cunha dan pertahanan muda Paraguay, Diego Leon, menyertai Old Trafford.
Amorim bertekad untuk merombak pilihan serangan United selepas musim yang mengecewakan.
Mereka tewas 0-1 kepada Tottenham dalam final Liga Europa dan menamatkan saingan liga di tempat ke-15, kedudukan terendah sejak musim 1973-74.
Rasmus Hojlund dan Joshua Zirkzee gagal menyerlah sebagai penyerang utama musim lalu.
Amorim dilapor memaklumkan kepada Alejandro Garnacho untuk mencari kelab baharu, manakala Marcus Rashford dan Jadon Sancho dijangka meninggalkan kelab selepas tempoh pinjaman masing-masing di Aston Villa dan Chelsea.
Mbeumo juga rekrut terbaru Amorim dalam usahanya menghidupkan semula United yang kian malap.
Selepas membelanjakan £62.5 juta (RM356.9 juta) untuk mendapatkan Cunha, perbelanjaan besar United berterusan walaupun kegagalan layak ke Liga Juara-Juara menyebabkan kelab kehilangan sekurang-kurangnya £70 juta (RM399 juta).
Mbeumo pemain serba boleh yang mampu beraksi di bahagian sayap mahupun sebagai penyerang tengah.
Kepantasan, kreativiti dan penyudah tajamnya dijangka memberikan impak besar kepada United.
Mbeumo menyerlah sepanjang enam tahun bersama Brentford, menjaringkan 70 gol dan mencipta 51 bantuan jaringan dalam 242 penampilan dalam semua pertandingan sejak berpindah dari kelab Perancis, Troyes, pada 2019.
Dia membantu Brentford layak ke EPL pada 2021 dan menjadi tonggak kepada pencapaian tempat ke-10 mereka dalam musim 2024-25.
© New Straits Times Press (M) Bhd