Resah jika api melanda

Resah jika api melanda

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Kekurangan pili bomba di kawasan Kuala Kedah menggusarkan penduduk terutama di penempatan yang rapat di Kampung Ulu, Lorong Mayat, Masjid Lama dan sepanjang laluan ke Kampung Sematang Pinang.

Penduduk mendakwa terdapat pili bomba di kawasan itu sebelum ini, namun ia ‘hilang’ berkemungkinan dicuri atau dirosakkan.

Penduduk, Mohd Nor Husain, 71, berkata, kawasan penempatan di situ mempunyai 1,000 rumah yang semua dibina dalam keadaan rapat.

Jadi, katanya, jika berlaku kebakaran api boleh merebak dengan cepat dan ketiadaan pili bomba pasti akan menyukarkan operasi pemadaman api.

“Kalau kebakaran kecil, mungkin boleh diselamatkan lagi tapi kalau kebakaran itu besar, mungkin akan menyukarkan penduduk untuk menyelamatkan diri.

“Bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, saya berharap lebih banyak pili bomba dipasang di kawasan ini yang kebanyakannya dihuni oleh nelayan tempatan,” katanya ketika ditemui di Kuala Kedah.

Mohd Nor berkata, jika berlaku kebakaran di kawasan itu, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) akan tiba lebih awal untuk memadam kebakaran menggunakan air dalam jentera sementara menunggu pasukan bomba tiba.

“Minggu lalu ada berlaku kebakaran di kampung. Disebabkan jalan masuk ke kampung ini agak sempit dan ketiadaan pili bomba pasukan bomba terpaksa menggunakan apa sahaja sumber air yang ada,” katanya.

Menurut Mohd Nor, dahulunya kawasan kampung itu hanya mempunyai 500 rumah, tetapi disebabkan ramai yang berpindah ke sini untuk bekerja sebagai nelayan, ramai yang membina rumah di kawasan itu.

Seorang lagi penduduk, Zainol Hanafi, 74, berkata, sejak menetap di situ, dia belum pernah nampak pili bomba di kawasan itu.

“Memang tak pernah nampak pili bomba di kawasan ini dan pakcik bimbang kalau kebakaran berlaku pada waktu malam atau awal pagi pasukan bomba mungkin sukar mendapatkan sumber air kerana keadaannya gelap.

“Kalau ada pili bomba di sini, sekurang-kurangnya kami lega sebab boleh digunakan jika berlaku kebakaran,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di beberapa kawasan berhampiran Kuala Kedah mendapati, ada juga individu yang didapati menutup pili bomba dengan kain selimut yang dijemur di tengah panas.

Tindakan itu turut mengganggu pihak bomba untuk melakukan pemeriksaan rutin selain menghalang pasukan penyelamat untuk menggunakannya sekiranya berlaku kebakaran.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam Harian Metro terbitan esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top