Resipi 30 tahun jeruk celagi

Resipi 30 tahun jeruk celagi

asyikin.mat@hmetro.com.my

Bagi mereka yang bukan berasal dari pantai timur, pasti tertanya-tanya apa itu jeruk celagi dan bagaimana rupanya.

Celagi sebenarnya ialah buah asam jawa muda yang diproses menjadi jeruk.

Makanan ringan yang popular di pantai timur ini juga adalah resipi warisan generasi lama yang kini semakin terpinggir.

Kamarudin Jusoh, 45, dari Terengganu, antara penerus warisan itu yang masih aktif menghasilkan jeruk celagi.

Menurut Kamarudin, dia mempelajari cara membuat jeruk itu daripada ibunya.

“Ibu pula mewarisinya daripada nenek. Resipi ini sudah lebih 30 tahun dan ia menjadikan hidangan ini sarat dengan nostalgia.

“Namun, ketika ini, tidak ramai berminat untuk belajar atau menghasilkan jeruk celagi kerana prosesnya agak sukar dan memakan masa terutama ketika mengupas kulitnya,” katanya.

Kamarudin berkata, kaedah yang digunakan untuk menyediakan jeruk celagi sedikit berbeza daripada kaedah tradisional.

“Buah celagi direbus seketika untuk melembutkan kulit supaya mudah dikopek.

“Kemudian, rendam buah celagi dalam air garam selama 15 minit. ia bagi membuang lendiran pada buah berkenaan.

“Seterusnya, cuci buah dengan air kapur untuk menjadikan teksturnya lebih rangup,” katanya.

Menurut Kamarudin, selepas itu, sediakan kuah jeruk daripada campuran gula melaka, garam dan cili kering kisar.

“Buah celagi kemudian digaul bersama kuah jeruk dan diperam selama dua hari sebelum boleh dimakan.

“Jika diperam melebihi tempoh itu, jeruk akan lembik dan kurang enak,” katanya.

Menurut Kamarudin, keistimewaan jeruk itu terletak pada rasanya yang seimbang masam, manis dan sedikit pedas.

“Gabungan ini menjadikan ia bukan sekadar jeruk, tetapi snek tradisional yang membangkitkan selera.

“Buah celagi juga bermusim dan kerana itu sukar untuk memperolehnya.

“Tambahan pula, kebanyakan pokok celagi di kampung ini adalah pokok tua dengan ketinggian antara 20 hingga 30 meter dan biasanya, saya upah orang untuk memanjat dan memetik buahnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top