
Spencer (tengah), Boon Sian (kiri) dan Chase Liu (kanan) bertukar MoU di antara Resort World Genting dengan Trip.com Group pada Rabu. – FOTO: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB.
RESORTS World Genting (RWG) mengambil langkah strategik apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kumpulan Trip.com bagi memperluas capaian pasaran dan memudahkan pelancong luar negara membuat tempahan secara dalam talian.
Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG, Spencer Lee berkata, kerjasama tersebut sejajar dengan usaha RWG memperkasa pendekatan digital dan memudahkan orang ramai mengakses maklumat mengenai tawaran yang tersedia.

Spencer – FOTO: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB.
“Dunia hari ini bergerak pantas dan pelancong tidak lagi mahu membuang masa, sebaliknya mereka mahukan akses segera kepada maklumat seperti pilihan percutian, harga dan kemudahan tempahan.
“Kami berada di kedudukan terbaik untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang lancar di samping produk pelancongan dan hiburan bertaraf dunia yang menjadi identiti RWG,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani MoU di Wisma Genting di sini pada Rabu.
Beliau berkata, kerjasama dengan Trip.com membolehkan semua tawaran RWG dipaparkan kepada pasaran antarabangsa secara lebih lancar, mesra pelanggan dan sejajar dengan piawaian industri pelancongan global.
Tambah beliau, usaha itu juga membuka laluan baharu kepada pelancong luar negara untuk menempah percutian ke Genting Highlands secara lebih mudah dan efisien.
Menurut Spencer, RWG kini memberi tumpuan kepada penghasilan kandungan digital yang lebih ringkas dan mudah difahami untuk menarik minat pelancong membuat pembelian pakej percutian yang ditawarkan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Trip.com kerana menjadi rakan pertama RWG yang berkongsi maklumat penghubung komunikasi antara dua sistem (API), sekali gus memperkukuh kerjasama dua hala yang saling menguntungkan.
“Kerjasama ini bukan sahaja membuka peluang jualan yang lebih pantas, tetapi juga memberi pengalaman lebih lancar kepada pelanggan dari seluruh dunia,” katanya.
Spencer turut melahirkan keyakinan bahawa kolaborasi bersama Trip.com akan terus berkembang dan memainkan peranan penting dalam aspek sambungan digital serta pengembangan pasaran serantau.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Naib Presiden Pasaran Antarabangsa Kumpulan Trip.com, Chai Boon Sian berkata, pihaknya teruja dengan termeterainya MoU tersebut kerana RWG menyediakan perkhidmatan pelancongan tersohor di negara ini.
“Malaysia merupakan salah satu pasaran pertumbuhan utama bagi Trip.com dan kerjasama ini mencerminkan komitmen kami dalam menyokong pembangunan sektor pelancongan negara,” katanya.