rnoraina@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Sebuah restoran dan bar di sini, yang menyediakan wanita warga Sri Lanka sebagai pelayan pelanggan untuk menarik lelaki hidung belang, diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam.
Serbuan dijalankan pasukan Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLAserta PASTAK dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya itu membawa kepada penahanan 11 individu termasuk sembilan wanita berusia 20 hingga 33 tahun.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi membabitkan kekuatan 40 pegawai dan anggota dijalankan hasil aduan awam dan risikan selama seminggu.
“Semasa serbuan, warga asing yang berada di premis berkenaan cuba melarikan diri dengan bersembunyi di tingkat atas bagi mengelak ditangkap, namun seramai 20 orang termasuk lapan tempatan diperiksa.
“Hasil pemeriksaan itu, 11 individu terdiri daripada sembilan wanita warga Sri Lanka yang bekerja sebagai pelayan dan dua lelaki warganegara sama yang turut bekerja di premis berkenaan ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, semakan dan penilaian awal mendapati tiada elemen eksploitasi mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 terhadap kesemua wanita itu.
Menurutnya, soal siasat mendapati mereka bekerja di premis berkenaan hampir setahun lalu dengan bayaran gaji sekitar RM2,000 sebulan.
Katanya, mereka turut mendakwa pasport dipegang oleh majikan sebelum dibenarkan bekerja di premis itu.
“Modus operandi premis adalah mengambil wanita warga Sri Lanka untuk dijadikan pelayan bagi menghiburkan pelanggan.
“Premis juga pernah beberapa kali diserbu dan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa, namun masih terus beroperasi,” katanya.
Katanya, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd