Restoran tular guna peralatan berunsur komunis, pengurus ditahan

Restoran tular guna peralatan berunsur komunis, pengurus ditahan

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengurus restoran barbeku di Klang, Selangor ditahan semalam, bagi membantu siasatan susulan perkongsian video di media sosial memaparkan beberapa peralatan makanan di premis itu yang berunsur dan mempromosikan agenda komunis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima laporan seorang pengadu yang menyedari video berkenaan pada 8.30 malam.

Menurutnya, video itu menunjukkan premis terbabit menggunakan pinggan, mangkuk, teko, gelas dan cawan dengan cetakan imej propaganda komunisme dan slogan komunisme pada setiap peralatan berkenaan.

Katanya, susulan itu, pihaknya melakukan pemeriksaan lanjut di restoran berkenaan dan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan menahan seorang lelaki berusia 20 tahun yang juga pengurus restoran berkenaan.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu sudah bekerja di premis terbabit sejak Oktober tahun lalu dengan gaji sebanyak RM4,500 sebulan.

“Suspek mengaku barang-barang berkenaan dibeli oleh rakan pemilik restoran yang tinggal di China dan dihantar ke negara ini untuk digunakan di restoran,” katanya di sini, hari ini.

Razarudin berkata, pihaknya turut merampas lima mangkuk seramik saiz kecil dengan bahasa Cina dan bergambar disyaki wajah Presiden Komunis China, Mao Zedong bersama rakan-rakannya.

Katanya, turut dirampas satu cawan kaca teh seramik tercatit tulisan Bahasa Cina dan gambar beberapa individu, tiga sudu sup seramik terdapat gambar disyaki Mao Zedong dan tiga resit perniagaan bertarikh semalam.

“Suspek direman selama dua hari bermula hari ini sehingga esok untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 dan. Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

“Semakan lesen dan pemilik premis akan dibuat kepada pihak Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), manakala semakan ke atas pemilik akaun ‘YouTube akan dilaksana pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, video berdurasi satu minit 24 saat dimuat naik sejak 10 hari lalu, mendapat sebanyak 3,800 tontonan, 94 tanda suka dan 25 komen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top