mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 163 alumni Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping Batch 94/95 bersama 33 guru mereka menghadiri Makan Malam Reunion 30 Tahun MRSM Taiping Class of 95′ yang diadakan Sabtu lalu.
Majlis turut dihadiri lebih 80 pasangan dan anak-anak alumni dan guru yang hadir.
Batch 94/95 MRSM Taiping ini adalah batch keempat Program Khas Pendidikan (PKP) MARA yang berjumlah 299 pelajar dalam kalangan 1000 pelajar terbaik negara untuk Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 1993.
Pelajar ini kemudiannya membawa MRSM Taiping menjadi salah satu daripada sekolah terbaik negara dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1995 dengan kejayaan 100 peratus calon mendapat Pangkat 1.
Pengarah Program, Nik Fahusnaza Nik Mohd Najmi, berkata, idea reunion ini dicetuskan oleh tiga rakan baik, menyedari akan hakikat pada tahun 2025, genap 30 tahun Batch 94/95 ini meninggalkan maktab.
Menurutnya, bermula dari itu, sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada 17 alumni dibentuk dan mula melakukan gerak kerja untuk menghubungi alumni dan guru, merangka program, mendapatkan penajaan dari kalangan alumni dan sebagainya.
“Kami tidak menyangka dapat mengumpulkan sebegini ramai alumni dan guru untuk program reunion ini yang menjadikannya yang terbesar pernah dianjurkan oleh mana-mana batch MRSM Taiping, apatah lagi setelah 30 tahun kami semua meninggalkan maktab.
“Ada sebilangan alumni yang turut pulang dari luar negara seperti dari Australia, Switzerland, Kuwait, Emiriyah Arab Bersatu dan Ireland semata-mata demi menjayakan reunion ini.
“Apa yang benar-benar mengharukan kami adalah sokongan hebat yang diberikan oleh guru yang rata-rata berusia antara 60-an dan 70-an yang sanggup datang dari seluruh negara walaupun ada yang terpaksa bertongkat dan berkerusi roda,” katanya.
Sementara itu, bekas Pengetua MRSM Taiping (1993-1997), Ahmad Roslan Johari, yang mengetuai barisan guru yang hadir pada malam terbabit berkata menghadiri program reunion yang dianjurkan oleh pelajar adalah satu perkara lazim untuk guru.
“Namun sambutan dan layanan yang diberikan oleh alumni Batch 94/95 ini adalah di luar jangkaan kami. Bukan sahaja kami diraikan dalam suasana yang begitu gilang-gemilang malah diberikan layanan hebat dengan penginapan hotel mewah dan diberikan penghargaan yang begitu sempurna sepanjang dua hari kami bersama mereka.
“Malah, ramai dari kalangan guru yang lama tidak bersua sesama mereka lantaran telah bertugas di tempat lain atau bersara lantas berpindah keluar dari Taiping.
“Justeru, reunion ini bukan sahaja memberikan peluang untuk kami mengubat rindu dengan anak-anak didik yang kini menjadi insan hebat dalam pelbagai bidang, bahkan kami guru-guru dapat bersua kembali sesama rakan-rakan seperjuangan yang sama-sama mendidik mereka dahulu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd