REV Media Group kuasai sepenuhnya The Vocket

REV Media Group kuasai sepenuhnya The Vocket

Kuala Lumpur: REV Media Group Sdn Bhd (REV Media Group), penerbit digital nombor satu negara, mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran media Melayu selepas melengkapkan pemerolehan penuh terhadap The Vocket Sdn Bhd (The Vocket).

Langkah itu menyaksikan REV Media Group kini memiliki 100 peratus pegangan dalam The Vocket selepas memperoleh baki 48 peratus saham yang belum dimiliki sebelum ini.

Syarikat itu sebelum ini sudah memegang 52 peratus kepentingan majoriti.

Ketua Pegawai Eksekutif REV Media Group, Samuel Wee, berkata pemerolehan penuh ini membuktikan kesungguhan syarikat untuk terus memperluas dominasi dan inovasi dalam ruang digital tempatan yang semakin berkembang pesat.

“The Vocket sudah membuktikan kekuatannya dalam menarik minat golongan muda dan pengguna digital. Dengan pemilikan penuh, kami bersedia mempercepat pertumbuhan jenama ini dan membawa kandungan digital ke tahap baharu,” katanya.

Sejak 2024, The Vocket menunjukkan prestasi luar biasa dengan 1.4 juta pembaca unik, 68.5 juta paparan halaman bulanan dan lebih 758,000 pengikut media sosial.

Majoriti audiensnya terdiri daripada lelaki (57 peratus), dengan kumpulan umur utama 25 hingga 44 tahun, cerminan sebenar generasi digital pertama Malaysia.

Dari kiri: Ketua Pegawai Eksekutif REV Media Group, Samuel Wee; dan Pengasas The Vocket, Mohd Fazreen Jasni.

Pengasas The Vocket, Mohd Fazreen Jasni, menyifatkan pemerolehan itu sebagai detik bersejarah buat jenama yang diasaskannya 11 tahun lalu.

“Vocket bermula daripada minat untuk berkongsi kandungan yang dekat dengan jiwa rakyat.

“Pemerolehan ini membuka babak baharu buat kami lebih berani, lebih segar dan lebih Malaysia,” katanya sambil memaklumkan beliau akan mengambil sedikit masa untuk menumpukan kepada pertumbuhan peribadi dan aktiviti sukan.

Gabungan The Vocket dalam ekosistem luas REV Media Group dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama rentas platform, pengiklanan pintar serta strategi pengewangan baharu bagi memperkukuh lagi kehadiran REV dalam pasaran digital.

Langkah itu juga meletakkan REV Media Group sebagai rakan pilihan utama bagi jenama yang mahu mencapai skala besar dan kekal relevan dengan budaya serta gaya hidup pengguna Malaysia masa kini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top