aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky mengakui barisan pemain negara perlu segera bangkit kembali fokus di Terbuka China yang bermula Selasa ini selepas tamatnya cabaran di Terbuka Jepun.
Melihat dari keseluruhan prestasi, Rexy berpuas hati dengan prestasi pemain tetapi ia belum cukup sempurna kerana ada kelemahan yang perlu diperbaiki. Antaranya prestasi beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang bermula agak perlahan ketika berdepan rakan senegara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di pusingan pertama.
“Pencapaian semua okay. Ada beberapa perkara perlu diperbaiki. Aaron-Wooi Yik mula agak perlahan di Jepun jadi mereka perlu buat lebih baik di China selepas ini.
“Man Wei Chong-Tee Kai Wun juga perlu tampil lebih yakin terutama bila bertemu dengan pasangan lebih baik,” katanya.
Dalam aksi di Gimnasium Metropolitan Tokyo itu, Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan kedua tewas mengejut kepada rakan senegara 15-21, 15-21.
Manakala Wei Chong-Tee Kai Wun kecundang di suku akhir menentang beregu nombor tiga dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Sementara itu, dua beregu muda wanita negara Ong Xin Yee-Carmen Ting dan Go Pei Kee-Teoh Mei Xing belum mampu mencipta kejutan apabila tersingkir seawal pusingan pertama.
Xin Yee-Carmen tumpas kepada gandingan tuan rumah, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi, manakala Pei Kee-Mei Xing gagal menyaingi pasangan pilihan utama Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee.
Namun Rexy tetap melihat potensi dalam aksi mereka yang menunjukkan adanya peningkatan, cuma mereka perlu lebih berani dan percaya kepada kemampuan sendiri apabila bertemu lawan ranking lebih tinggi.
Bagi beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang tewas di pusingan kedua kepada pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, Rexy menegaskan mereka perlu segera mengembalikan momentum seperti ketika awal digandingkan.
Terbuka Jepun menyaksikan pencapaian terbaik skuad kebangsaan hadir menerusi beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah yang muncul naib juara, manakala beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terkandas di separuh akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd