Rexy sedia letak jawatan

Rexy sedia letak jawatan

saifulaffendy@hmetro.com.my

Bangkok: Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky menyatakan kesediaannya untuk memikul tanggungjawab penuh, termasuk meletakkan jawatan, susulan kegagalan skuad badminton negara, khususnya dalam acara beregu di Sukan Sea Thailand.

Kem badminton negara menamatkan kempen temasya kali ini dengan hanya satu pingat emas, dua perak dan enam gangsa, jauh daripada sasaran empat emas yang ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Satu-satunya emas badminton negara diraih menerusi beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang tampil cemerlang menundukkan pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari 21-16, 19-21, 21-17 pada aksi final, hari ini.

Gandingan nombor dua dunia itu terpaksa berpuas hati dengan pingat perak apabila tewas straight set kepada pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama–Moh Reza Pahlevi Isfahani 14-21, 17-21 pada aksi final yang berlangsung di Gimnasium Universiti Thammasat, hari ini.

Harapan satu lagi emas menerusi beregu campuran negara yang juga juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut tidak kesampaian apabila mereka terkandas di separuh akhir dan sekadar membawa pulang gangsa.

Manakala acara berpasukan lelaki terlepas meraih emas selepas tewas 0-3 kepada Indonesia di final.

Mengulas kegagalan mencapai sasaran, Rexy mengakui kritikan pasti hadir dan menegaskan beliau bersedia memikul tanggungjawab sepenuhnya.

“Kalau memang ada (minta letak jawatan), saya sedia (lepaskan jawatan). Itu saja.

“Kami sasar empat emas dan sekarang orang pasti akan mempersoalkannya. Jika ditanya soal tanggungjawab, saya melihatnya sebagai satu perkara yang perlu kami terima. Itu adalah tanggungjawab kami.

“Apabila bercakap mengenai sasaran empat pingat emas, kami menetapkannya secara realistik. Saya tidak mahu bercakap perkara yang tidak realistik.

“Berdasarkan prestasi beregu negara, sasaran empat emas memang kelihatan realistik. Namun hakikatnya, kita gagal mencapainya dan hanya satu emas berjaya diraih. Jadi di situ letaknya isu tanggungjawab yang saya maksudkan,” katanya.

Menurut Rexy, beliau juga sedar pandangan negatif dan kritikan daripada luar adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

“Sudah tentu akan ada pandangan dan kritikan daripada orang luar. Malah sebelum ini, selepas kekalahan dalam acara berpasukan, ada yang mengatakan ia kesalahan jurulatih sepenuhnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top