sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Bukan 100 peratus, tapi 10,000 peratus saya setuju.”
Itu antara respons awal Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky yang menegaskan disiplin adalah elemen paling penting dalam membentuk pemain bertaraf dunia dan menyokong penuh pandangan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei berhubung perkara itu.
Bagi Rexy, jika seseorang pemain itu ingin berjaya dan meraih pelbagai kejuaraan, asasnya adalah disiplin dan tanpa perkara itu, mereka memang tidak mampu beraksi secara konsisten dalam setiap pertandingan.
“Saya bukan setakat 100 peratus setuju, tapi 10,000 peratus setuju. Disiplin ini penting dalam apa saja, bukan hanya dalam sukan tetapi juga dalam kehidupan seharian, sama ada di rumah atau dalam dunia perniagaan sekalipun.
“Apa yang dibuat oleh Chong Wei itu memang saya sokong sepenuhnya kerana disiplin memang sangat perlu. Dari situlah baru kita boleh melihat kejayaan pada masa depan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini.
Sebelum ini, legenda badminton negarai itu menegaskan isu disiplin perlu diberi perhatian serius jika skuad negara mahu kembali bersaing di peringkat tertinggi dan beliau mengakui kebimbangan terhadap disiplin pemain bukan perkara baharu, sebaliknya sudah dikenal pasti sebelum kempen Piala Thomas 2026.
Selain itu, ketika ditanya sama ada terdapat pemain yang bersikap sedemikian, pemenang pingat emas Olimpik Atlanta 1996 itu menjelaskan isu disiplin tidak semestinya berkaitan pemain tidak mendengar arahan jurulatih, sebaliknya lebih kepada gaya hidup dan sikap mereka di luar gelanggang.
“Pemain kena faham apabila mereka sertai BAM, mereka bukan lagi orang biasa sebab semua orang akan perhatikan apa yang mereka buat. Bukan jurulatih atau rakan sepasukan saja tengok, tetapi seluruh masyarakat.
“Orang ramai mahu lihat mereka berjaya dan sebab itu pemain perlu faham disiplin serta peraturan diwujudkan untuk membantu mereka berjaya,” katanya.
Tambahnya, skuad badminton negara masih belum menguatkuasakan hukuman terlalu ketat seperti dilakukan dalam sukan bola sepak profesional di luar negara yang mengenakan denda besar terhadap pemain bermasalah disiplin.
Sebaliknya, barisan kejurulatihan hanya memberi nasihat dan peringatan terbuka supaya pemain sedar mengenai tanggungjawab mereka sebagai atlet negara.
Dalam pada itu, Rexy menegaskan tindakan lebih tegas termasuk penyingkiran daripada skuad boleh diambil sekiranya seseorang pemain terus mengulangi kesalahan sama walaupun sudah beberapa kali diberikan amaran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




