Rezeki 40 pemain timba ilmu bersama Nani, Brown

Rezeki 40 pemain timba ilmu bersama Nani, Brown

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 40 pemain muda mencipta kenangan luar biasa apabila diberi peluang secara eksklusif menjalani latihan bersama dua legenda Manchester United, Nani dan Wes Brown, semalam.

Kesempatan itu diraih mereka menerusi klinik bola sepak Back To The Roots: With Nani & Brown anjuran Adidas, dengan kerjasama rakan strategik global mereka, Manchester United.

Program menghimpunkan pemain berusia antara 13 hingga 17 tahun itu dipilih menerusi program pembangunan akar umbi peringkat kebangsaan, Liga Suparimau.

Pemain terbabit bukan saja menerima tunjuk ajar secara langsung daripada dua ikon bola sepak dunia yang pernah mencipta nama di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Eropah, malah turut beraksi bersama mereka.

Sesi latihan itu dikendalikan Ketua Sekolah Bola Sepak Manchester United, Michael Neary yang menyusun modul intensif merangkumi latihan hantaran, permainan tenis kepala serta perlawanan mini 11 sebelah.

Menurut Pengarah Jenama Kanan Adidas Asia Tenggara, Fanny Lanctot, program itu bukan sekadar sesi latihan biasa, sebaliknya pengalaman pembentukan peribadi dan profesional yang mampu mencorak masa depan peserta sebagai atlet.

“Mentor adalah elemen penting dalam perjalanan setiap atlet dan peluang berlatih bersama legenda bola sepak seperti Nani dan Brown adalah satu pengalaman amat berharga.

“Ia memberi inspirasi besar serta membuka laluan bermakna untuk mereka memahami realiti dunia bola sepak profesional,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top