surayaroslan@mediaprima.com.my
Putrajaya: Peneraju dalam pembiayaan pertanian dan perbankan, Agrobank meraikan pemenang Kempen Mega Million 2.0 melalui Majlis Penyerahan Hadiah yang mengiktiraf pemenang utama dan bulanan bagi Ogos, September dan Oktober tahun ini.
Dalam majlis itu, pemenang bertuah, Sha’arah Bidin, 74, dari Perlis membawa pulang hadiah utama kempen iaitu sebuah Ford Ranger Raptor.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, kempen Mega Million 2.0 menawarkan hadiah bernilai lebih RM2.5 juta itu menerima sambutan yang amat menggalakkan.
“Pelbagai produk termasuk deposit, pembiayaan, takaful dan penulisan wasiat berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan.
“Bagi produk deposit kami berjaya mencapai RM390 juta manakala produk Ar-Rahnu, kami berjaya melepasi jangkaan dengan pencapaian RM1.2 bilion.
“Selain itu, pencapaian Hartani-i dan AgroCash-i masing-masing melonjak kepada 122 peratus dan 121 peratus. Pencapaian ini bukan sahaja menunjukkan keyakinan pelanggan terhadap produk Agrobank, malah membuktikan keupayaan kami menyediakan penyelesaian kewangan yang relevan kepada pelanggan,” katanya.
Menurutnya, melihat prospek kejayaan, Agrobank yakin bahawa Kempen Mega Million mempunyai potensi besar untuk diteruskan dan dikembangkan lagi.
“Agrobank turut melancarkan Kempen Mega Million 3.0 bermula pada 1 November lalu hingga 31 Oktober tahun depan.
“Kempen ini menawarkan hadiah utama iaitu sebuah Ford Ranger Raptor dan cabutan bulanan Proton X50 melalui langganan produk Agrobank seperti AgroPrimaS, AgroCash-i, Hartani-i, Ar-Rahnu, Takaful Kasih Plus, Agro Madani, Agro Nurani, Penulisan Wasiat dan Motor Takaful.
“Sebagai kesinambungan siri kempen terdahulu, Mega Million 3.0 diteruskan bagi memperkukuh kejayaan yang dicapai melalui Mega Million 1.0 dan 2.0,” katanya.
Katanya, ia dirangka untuk memperkukuh asas simpanan kos rendah yang ditawarkan Agrobank kepada pelanggan individu dan menggalakkan pelanggan memanfaatkan kemudahan pembiayaan seperti AgroCash-i dan Hartani-i.
“Selain itu, Agrobank juga ingin meningkatkan pembabitan pelanggan dengan perkhidmatan Ar-Rahnu melalui tawaran kadar margin yang menarik dan kompetitif.
“Seiring dengan usaha bank menyediakan rangkaian penyelesaian kewangan yang menyeluruh bagi memenuhi keperluan pelanggan, kempen ini turut memberi peluang kepada pelanggan untuk memenangi pelbagai ganjaran menarik,” katanya.
Terdahulu, Agrobank turut menyampaikan hadiah utama iaitu sebuah Toyota Hilux yang ditaja oleh PayNet, kepada pemilik Sogno Coffee Sdn Bhd, Shaila Adnan sempena kempen Go Cashless, Ganjaran Hebat dengan DuitNow QR Agrobank.
Kempen yang berlangsung dari 1 Ogos hingga 30 November lalu itu bertujuan menggalakkan penggunaan DuitNow QR Agrobank dalam urusan harian perniagaan, khususnya dalam kalangan penjaja.
Selain hadiah utama, kempen itu turut menawarkan ganjaran bulanan kepada peniaga, di mana lima peniaga dengan jumlah transaksi DuitNow QR tertinggi melalui AGRONet Biz menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500 setiap seorang.
Ketua Pegawai Komersial PayNet, Azrul Fakhzan Mainor berkata, inisiatif seperti kempen Go Cashless itu bertujuan memperkasa perniagaan kecil dengan menggalakkan penggunaan pembayaran digital yang lebih mudah, selamat dan cekap.
“Melalui pendigitalan, peniaga kecil dapat meluaskan capaian pelanggan, meningkatkan kecekapan operasi dan kekal berdaya saing dalam ekonomi moden,” katanya.
Sementara itu, Sha’arah ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka di penghujung usia menerima kereta idaman iaitu Ford Ranger Raptor bagi memudahkannya mengusahakan bendang di Perlis.
“Memang sudah terdetik lama untuk mempunyai kereta ‘kuat’ ini supaya senang bawa baja dan benih padi, kebetulan ada pihak Agrobank beritahu saya dapat kereta ini.
“Alhamdulillah, syukur Ya Allah, ini adalah rezeki yang tidak disangka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




