'Rezeki 'jodoh' yang Allah bagi' – Aisha Retno

'Rezeki 'jodoh' yang Allah bagi' – Aisha Retno

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi, Aisha Retno meluahkan rasa syukur apabila lagu raya dendangannya berjudul Jodoh Lebaran terus mendapat sambutan hangat.

Malah, muzik video (MV) lagu terbabit sudah mencecah lebih 7.2 juta tontonan di YouTube dalam tempoh dua minggu selepas dilancarkan.

Menerusi perkongsian di laman Threads, Aisha menganggap sambutan hangat yang diterima pada lagu raya terbaharunya itu sebagai rezeki dari Allah SWT.

“Allahu Akbar, ‘time’ (masa) Ramadan lepas solat tarawih, saya selalu berdoa nak dapat jodoh, mungkin ini rezeki ‘jodoh’ yang Allah bagi,” tulisnya.

Dalam perkongsiannya lagi, Aisha berkata, negara kelahiran ibunya, Indonesia dan bapanya, Malaysia sentiasa mendapat tempat dalam hatinya.

“Ketipak Ketipung, jodoh lebaran, selamat hari raya ‘Southeast Asia’ (Asia Tenggara)

“Always, have a heart spot for my mama country, Indonesia and dad country, Malaysia (negara kelahiran ibu, Indonesia dan bapa, Malaysia sentiasa mendapat tempat dalam hati),”tulisnya lagi.

Perkongsian Aisha turut mendapat maklum balas positif dari pengikutnya yang menerima keunikan lagu Jodoh Lebaran yang mengetengahkan elemen tradisional dan rentak joget itu.

Terdahulu, MV Jodoh Lebaran Aisha dilaporkan sudah mendominasi kebanyakan carta lagu raya tempatan di platform penstriman.

Selain Jodoh Lebaran, lagu rayanya berjudul Ketipak Ketipung Raya pada tahun lalu juga masih mendapat tempat di hati pendengar.

Menurutnya, pencapaian berkenaan bukan sekadar mengenai angka, sebaliknya lebih bermakna kerana lagu itu diterima baik oleh pendengar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top