hafizithnin@mediaprima.com.my
Pereka fesyen berusia 23 tahun yang berasal dari Johor ini melihat karya sebuah fesyen sememangnya boleh diterbitkan menerusi pelbagai elemen dalam kehidupan.
Malah, tubuh yang diciptakan juga sebenarnya boleh dijadikan sumber inspirasi dalam menghasilkan sebuah koleksi kapsul miliknya apabila dia memilih struktur rangka manusia sebagai tema utama.
Juwita Azmira Rahmat berkata, dia mengambil elemen daripada bentuk anatomi tulang manusia yang kompleks tetapi indah. Setiap lapisan tulang yang bersambung melambangkan kekuatan, keseimbangan dan ketahanan hidup.
Jelasnya, melalui koleksi kapsul itu dia ingin menterjemahkan keunikan struktur dalaman tubuh manusia ke dalam bentuk seni fesyen. Teknik anyaman, tekstur dan bentuk tiga dimensi yang digunakan bertujuan memperlihatkan sesuatu yang kelihatan rapuh seperti tulang, sebenarnya mempunyai kekuatan dan keindahan tersendiri.
“Koleksi ini juga menekankan konsep kelestarian dengan penggunaan bahan yang dihasilkan daripada kapas kitar semula (seperti DMC Nova Vita 12) dan fabrik Cotton Drill yang tahan lama.
“Saya ingin memberi penghormatan kepada alam sekitar dengan mencipta rekaan yang bukan sahaja berfungsi sebagai karya seni, tetapi juga memberikan kesan positif kepada bumi,” katanya.
Jelasnya, inspirasi untuk koleksi itu juga bersandarkan perjalanan hidup peribadi kerana dia pernah bercita-cita untuk bergelar seorang doktor ketika kecil sebelum beralih ke bidang fesyen sebagai haluan alternatif.
“Hasil usaha dan ketekunan dalam mengubah haluan hidup ini, saya akhirnya memilih untuk menjadi seorang pereka fesyen,” katanya.
Jelasnya, koleksi kapsul itu mengambil masa lebih kurang enam bulan untuk disiapkan. Sepanjang tempoh berkenaan, ia melalui proses pembangunan konsep, kajian anatomi manusia, lakaran rekaan, eksperimen teknik tekstil serta pembuatan mock-up.
“Proses penghasilan membabitkan penggunaan teknik draping, macramé dan smocking. Untuk menghasilkan kesan smocking yang sempurna, setiap kotak smocking diukur dan dijahit dengan saiz 1.5 sentimeter yang memerlukan ketelitian tinggi. Tempoh masa yang panjang juga diambil bagi memastikan tekstur yang konsisten dan teratur.
“Dalam teknik macramé pula, saya menggunakan benang jenama dari Perancis. Ia dibuat daripada 80 peratus kapas kitar semula dan 20 peratus poliester dan sesuai untuk projek seperti mengait, crochet, dan macramé,” katanya.
Tambahnya, dia memesan benang itu dari London kerana stoknya sangat terhad di Malaysia. Dia juga memerlukan hampir 26 gulung untuk keseluruhan koleksi, yang memerlukan tempahan khas dari luar negara dengan kos yang tinggi termasuk penghantaran dan cukai.
“Proses menghasilkan macramé ini juga mencabar kerana setiap simpulan perlu dibuat secara manual satu persatu dan dicantumkan ke atas pakaian menggunakan teknik jahitan tersembunyi (blindstitch) yang menuntut ketelitian dan kesabaran tinggi sepanjang proses berkenaan,” katanya.
Katanya, dia memilih warna krim sebagai warna utama dalam keseluruhan koleksi. Warna krim dipilih untuk menyerlahkan konsep keaslian, kesucian dan keanggunan struktur tulang manusia tanpa gangguan warna-warna lain. Selain itu, mengekalkan nada minimalis tetapi tetap kuat dalam menyampaikan mesej tentang kehidupan dan kekuatan dalaman.
“Bagi fabrik utama, saya menggunakan Cotton Drill kerana teksturnya yang tebal dan kukuh, sesuai untuk membentuk struktur draping yang kemas serta memberi sokongan kepada teknik smocking dan macramé yang digunakan dalam koleksi ini.
“Keputusan untuk menggunakan bahan yang tahan lama juga adalah sebahagian daripada komitmen koleksi ini terhadap prinsip kelestarian,” katanya.
Katanya, dia menyasarkan koleksi itu kepada golongan kategori Artisanal Attire dan disasarkan kepada individu yang menghargai seni dalam fesyen, terutamanya mereka yang berminat dengan rekaan artistik dan konseptual.
“Ia sesuai dipersembahkan dalam pameran fesyen, editorial majalah, pertunjukan pentas seni atau acara yang meraikan kreativiti dan ekspresi diri melalui pakaian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd