Rezeki lebih 11 tahun jaga bapa sakit

Rezeki lebih 11 tahun jaga bapa sakit

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Bukan semua orang dapat peluang jaga orang tua. Kalau ada rezeki jaga mak ayah, jagalah sebaiknya,” kata Khairulfahmi Ismail, 39, yang tular di media sosial selepas berkongsi rutin harian menjaga ayahnya yang lumpuh sejak lebih 11 tahun lalu.

Menurut kakitangan Pejabat Hutan Daerah Seremban itu, dia menjaga ayahnya, Ismail Ibrahim, 79, dengan dibantu isteri, Noor Nazeha Hairan, 38, selepas warga emas itu diserang angin ahmar pada 2014 dan lumpuh sebelah kiri badan.

Akuinya, banyak cabaran menjaga orang yang sakit, apatah lagi ayah sendiri, namun dia tetap sabar dan menganggap ia khidmat baktinya kepada orang tua.

“Walaupun ayah garang, tapi dia juga seorang yang kelakar. Saya tetap layan kerenahnya tanpa ambil hati.

“Cabaran paling besar menjaga ayah adalah ketika dia dalam keadaan ‘lasak’. Ayah pernah jatuh katil, buka lampin, main najis… semua itu pernah terjadi, tapi kami suami isteri sabar sahaja kerana ini ujian Allah.

“Saya percaya apabila kita ikhlas, Allah akan permudahkan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menceritakan detik ayahnya, seorang bekas tentera, diserang angin ahmar, Khairulfahmi berkata, kejadian berlaku ketika ibunya mahu mengejutkan bapanya untuk solat asar.

“Ayah tak bangun dan mulutnya berbuih. Saya segera hubungi ambulans dan ayah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban.

“Selepas melakukan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), didapati terdapat saluran darah ke otak pecah dan dia dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta menjalani rawatan di sana selama lima bulan,” katanya.

Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, kesihatan bapanya kini semakin baik walau fizikalnya sukar bergerak.

“Saya dan isteri bergilir uruskan ayah. Kalau isteri tak dapat mandikan, saya balik dari kerja untuk mandikannya. Majikan sangat memahami situasi saya, kalau perlu balik untuk uruskan ayah, majikan saya akan faham.

“Ayah kini tidak perlu dipantau 24 jam macam dahulu, cuma perlu disuapkan makan dan kadangkala lihat (pantau) keadaannya sahaja,” katanya.

Mengenai perkongsiannya di TikTok yang menyentuh hati, dengan satu video meraih lebih 4.2 juta tontonan hingga bapanya diberi gelaran ‘Atuk Online’ oleh pengguna media sosial, Khairulfahmi berkata, dia mahu memberi inspirasi baik kepada masyarakat.

Perkongsian rutin harian itu juga sebagai tanda sokongan kepada individu sepertinya yang berjuang menjaga ibu bapa yang sakit mahupun uzur.

“Kalau diberi peluang menjaga ibu bapa, ikhlaskan hati walaupun kadangkala ada kata-kata mereka yang mengguris perasaan.

“Saya tahu ramai di luar sana sama macam saya, jaga mak ayah yang sakit. Apa yang saya kongsikan hanyalah untuk memberi inspirasi dan semangat kepada mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top