Rezeki pandai nyanyi lapan bahasa

Rezeki pandai nyanyi lapan bahasa

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Alor Setar: Kebolehan menyanyi dalam lapan bahasa kelebihan dimiliki Muhd Alif Adam Abu Bakar atau dikenali Adam Matiin yang juga graduan Ijazah Muzik Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Lantaran itu, Adam, 27, menerima banyak undangan nyanyian hasil kelebihannya menyanyi dalam bahasa Mandarin, Itali, Jerman, Perancis, Thailand juga Korea selain Melayu dan Inggeris.

Terbaru iaitu pada Ogos lalu, Adam menerima ‘lamaran’ menyanyi di hadapan Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin sekali gus menjadikannya kenangan manis yang tidak dapat dilupakannya.

Berkongsi kisahnya, Adam yang juga komposer berkata, sebelum menyanyi, dia cuba meneroka bidang seni dengan bermain biola, gitar dan piano.

Bagaimanapun, Adam akhirnya sedar yang minatnya lebih kepada nyanyian dan mula menyanyi di khalayak ramai ketika berumur 16 tahun.

“Sejak umur lima tahun lagi, saya sudah bermain alat muzik dan emak yang jadi pendorong utama dalam bidang seni kerana dia dulunya pemain saksofon juga trumpet.

“Kali pertama saya buat persembahan di sekolah adalah dengan bermain biola ketika berumur 10 tahun.

“Manakala, pengalaman pertama menyanyi depan orang ramai adalah ketika berumur 16 tahun….dulu tahu saya boleh menyanyi cuma tak tahu akan serius seperti sekarang dan teruskan kerana setiap kali buat persembahan, rasa seperti bawa penonton ke dunia lain,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menyedari minat dalam nyanyian, Adam menyambung pengajian dalam Asasi Seni Kreatif sebelum ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di ASWARA.

Adam bersyukur kerana peluang menyambung pengajian memberinya banyak peluang menimba ilmu yang sekali gus memperbaiki lagi teknik nyanyiannya.

“Seronoknya belajar kerana dikelilingi orang yang tahu mengenai muzik dan elemen penting di dalamnya.

“Saya pun berasa bertuah kerana dapat jadi salah seorang anak didik Datuk Syafinaz Selamat yang banyak beri tunjuk ajar kepada saya.

“Cuma tak sangka, saya akan jadi guru vokal selepas tamat pengajian apabila dan bekerja di Singapura sejak 2021 hingga Januari lalu kerana perkara saya tak nak buat dalam hidup adalah jadi cikgu. Tapi Allah SWT tetapkan benda yang saya tak suka itu jadi punca pendapatan saya,” katanya yang pernah membuat persembahan dan pelancaran lagu solo, Detak Cinta dan Hey Lady…From Me selain diundang berkongsi pengalaman kerjaya seninya di salah satu radio Singapura.

Bagaimanapun, Adam mengakui aturan Allah SWT itu yang terbaik kerana dengan menjadi guru vokal, dia menerima anugerah pengajaran muzik terbaik pada tahun lalu.

“Bukan itu saja, ada pelajar saya autisme jadi berpeluang ajar anak istimewa.

“Pada masa sama, saya dapat ajar juga warga emas kerana pelajar saya berumur antara dua hingga 70 tahun.

“Peluang kerja di Singapura pengalaman berharga buat saya kerana hasil pendapatan di sana, dapat kongsi rezeki dengan keluarga…tapi saya nekad pulang ke tanah air tahun ini mahu cari peluang lain dan tak menyesal pun kerana percaya ada rezeki ditentukan Allah SWT tak kira di mana pun berada,” katanya yang juga pernah mewakili Singapura dan bergelar juara dalam pertandingan nyanyian peringkat dunia I-Sing pada 2023.

Adam berkata, sejauh mana pun kakinya melangkah, dia tidak akan melupakan ibunya, N Aniza Yaacob, 56, juga semua yang menyokong dan mempercayai bakatnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top