Soalan
Dalam perjalanan ke tempat parkir kereta selepas makan di sebuah restoran, saya terjumpa sejumlah wang. Apakah ia ‘rezeki terpijak’ buat saya dan bolehkah saya menggunakannya?
Jawapan
Dr Wahbah Zuhaili dalam kitabnya, Al-Fiqh Al-Islam wa Adillatuhu menjelaskan al-luqatah bermaksud harta yang hilang daripada tuannya dan dijumpai oleh orang lain.
Berkenaan hukum mengambil duit atau harta al-luqatah ini, fuqaha berbeza pendapat mengenainya.
Mazhab Syafie dan Hanafi membolehkan kita mengambilnya kerana seseorang itu wajib menjaga harta saudaranya manakala Mazhab Maliki dan Hanbali pula melarangnya.
Dalam hal ini, Syeikh Mustafa Bugha dalam kitabnya, Fiqh Manhaji Ala Mazhab Imam Syafie menggariskan beberapa pembahagian:
1 – Sunat mengambil harta tersebut bagi seseorang yang beramanah dan mampu menjaganya sekiranya merasakan kemungkinan barang yang dijumpai akan hilang.
2 – Harus mengambil harta itu bagi seseorang yang beramanah dan mampu menjaganya sekiranya merasakan barang itu tidak hilang.
3 – Wajib mengambilnya bagi seseorang yang beramanah dan mampu menjaganya sekiranya meyakini barang itu akan hilang apabila tidak mengambilnya kerana menjaga harta orang Islam itu wajib.
4 – Makruh mengambilnya sekiranya dia merasakan tidak dapat menjaga amanah pada masa akan datang.
5 – Haram mengambilnya kepada orang yang tidak beramanah dan tidak dapat menjaganya.
Jika barang yang dijumpai itu mempunyai nilai yang besar, jumhur ulama mewajibkan dibuat hebahan berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang menyuruh ia dihebahkan selama setahun.
Dr Wahbah Zuhaili menyatakan seseorang itu perlu mengumumkan harta al-luqatah atau mengiklankannya di tempat yang dijumpai dan di tempat pengumpulan masyarakat seperti pasar, masjid dan kedai-kedai makan.
Sekiranya harta tersebut tidak dituntut juga, sebaiknya ia diserahkan kepada pihak berautoriti bagi menjamin keselamatannya dan diputuskan oleh hakim untuk proses kegunaan bertujuan kemaslahatan umum atau diserahkan kepada Baitulmal.
Bagaimanapun bagi barang yang tidak menjadi tumpuan orang ramai dan mudah rosak seperti tali, kayu atau makanan, tidak harus mengumumkannya.
Sebaik-baiknya duit yang dijumpai dihebahkan termasuk melalui media sosial. Setelah itu sekiranya masih belum ditemui pemiliknya dalam tempoh yang tertentu, duit itu boleh disedekahkan kepada masjid atau rumah anak yatim.
Namun sekiranya ia nilai yang besar dan berharga, diwajibkan untuk mengiklankannya selama satu tahun atau boleh diserahkan kepada badan berautoriti bagi menguruskannya.



