RHB lancar STFF sokong peralihan ekonomi rendah karbon

RHB lancar STFF sokong peralihan ekonomi rendah karbon

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: RHB Banking Group, melancarkan Sustainable & Transition Finance Framework (STFF), rangka kerja pembiayaan mampan dan peralihan yang komprehensif bagi menyokong pelanggan di setiap peringkat transformasi kelestarian mereka.

Rangka kerja yang dibangunkan selaras dengan amalan terbaik global termasuk prinsip International Capital Market Association (ICMA) serta ASEAN Taxonomy for Sustainable Finance itu turut menerima pengesahan bebas menerusi Second-Party Opinion (SPO) oleh Sustainalytics, sekali gus mengukuhkan ketelusan dan kredibiliti kriteria pembiayaan yang ditetapkan.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif RHB Banking Group, Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata, STFF berfungsi sebagai pelan hala tuju strategik untuk mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi rendah karbon, khususnya bagi sektor yang sukar dikurangkan pelepasannya.

“Dengan menyediakan kriteria jelas bagi pembiayaan dan pelaburan mampan, kami merapatkan jurang pembiayaan untuk sektor ‘hard-to-abate’ agar mereka mempunyai sumber mencukupi untuk beralih.

“Rangka kerja ini bukan sahaja membantu mengurangkan risiko iklim jangka panjang, malah memperkasa pelanggan untuk berinovasi secara inklusif dan berdaya maju,” katanya di majlis pelancaran STFF di sini, hari ini.

Menurutnya, Malaysia sebelum ini menggariskan komitmen peralihan tenaga melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang membuka peluang pelaburan bernilai antara RM1.2 trilion hingga RM1.3 trilion untuk usaha penyahkarbonan ke arah ekonomi rendah karbon dan sasaran sifar bersih.

Bagaimanapun, bagi kebanyakan syarikat khususnya dalam sektor berintensif sumber dan berpelepasan tinggi, laluan peralihan sering berdepan cabaran akibat pilihan pembiayaan yang berpecah-pecah. STFF dilihat mampu menangani isu itu dengan menyediakan rangka kerja yang jelas, konsisten dan mudah diakses untuk syarikat korporat, GLC serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Mohd Rashid berkata, kelestarian adalah komitmen jangka panjang, melalui STFF, kami mahu menjadikan perjalanan ke arah kelestarian lebih praktikal dan peranan RHB bukan sekadar penyedia pembiayaan, tetapi rakan strategik yang menyokong pelanggan menuju sasaran Net Zero.

Pelancaran itu turut disertai sesi forum bertemakan ‘Decarbonisation: Are We Doing Enough to Achieve Net Zero?’ membabitkan wakil RHB, Solarvest dan Malaysia Forest Fund (MFF), sebelum dimuktamadkan dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara RHB dan MFF bagi memajukan penyelesaian berasaskan alam semula jadi serta peralihan.

Sejajar agenda kelestarian di bawah PROGRESS27, RHB menyasarkan untuk menggerakkan RM90 bilion dalam Perkhidmatan Kewangan Mampan (SFS) menjelang 2027.

Setakat Disember 2025, jumlah terkumpul SFS kumpulan itu melebihi RM59 bilion, bersamaan hampir 66 peratus daripada sasaran keseluruhan.

“Apabila pelanggan kami berkembang, komuniti turut maju dan negara akan bergerak ke hadapan dan keputusan paling mampan bukan menunggu kepastian, tetapi berani untuk bermula,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top