Ribuan berkumpul solidariti untuk Zara Qairina di Papar

Ribuan berkumpul solidariti untuk Zara Qairina di Papar

am@hmetro.com.my

Papar: Hujan tidak menghalang ribuan orang khususnya dari sekitar daerah untuk berkumpul menyatakan solidariti dalam kes Zara Qairina Mahathir, malam ini.

Himpunan Aman Solidariti Zara Qairina itu berlangsung di pekarangan Benoni Commercial Centre, di sini dengan ramai yang hadir membawa plakad dengan tanda pagar #justice4zara dan memakai pakaian berwarna hitam.

Pengerusi Penganjur Komuniti Anak Muda Papar, Azrul Ibrahim berkata, perhimpunan itu disifatkan sebagai isyarat jelas daripada rakyat yang menuntut keadilan dalam kes pelajar tingkatan satu meninggal dunia, didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah agama di sini.

“Ini (perhimpunan aman) merupakan satu manifestasi bahawa bukan sahaja setakat solidariti, tetapi keinginan rakyat untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku kepada adik Zara Qairina.

“Kita menuntut agar siasatan dapat disegerakan dan jika ada salah laku yang melibatkan siapa pun, kita minta ia dibawa ke muka pengadilan.

“Tapi dalam masa yang sama kita juga menyatakan harapan kita kepada seluruh orang Papar termasuk mereka yang berada di luar untuk berhati-hati dalam menyatakan ataupun menyebarkan sebarang maklumat.

“Ini kerana kita tahu melalui peristiwa kematian Zara Qairina ini di laman media sosial, kita mendapati banyak cerita tidak benar dan berunsur fitnah yang mana ini jika tidak dapat dibendung, ia akan menjadi asbab kepada perpecahan rakyat,” katanya ketika ditemui.

Azrul turut memaklumkan kes Zara Qairina juga mendapat perhatian negara jiran, Singapura, Indonesia dan Brunei.

Terdahulu, hari ini kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan untuk siasatan kes yang lebih terperinci.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top