LOS ANGELES – Satu kebakaran belukar di kawasan pergunungan utara Los Angeles memaksa pemindahan penduduk di dua daerah dan telah memusnahkan hampir 5,000 ekar tanah setakat Jumaat, menurut pihak berkuasa.
Jurucakap Jabatan Bomba Ventura, Andrew Dowd berkata, sekurang-kurangnya 10 zon di daerah Los Angeles dan Ventura telah diletakkan di bawah arahan pemindahan, dengan 2,700 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman setakat jam 11 malam, Khamis (waktu tempatan).
Menurut Dowd, kira-kira 400 anggota penyelamat telah digerakkan bagi mengawal kebakaran tersebut.
Kebakaran terbaharu itu berlaku ketika pasukan bomba sedang bergelut memadam kebakaran terbesar California tahun ini yang telah merebak lebih lapan hari, membakar lebih 99,000 ekar di Hutan Negara Los Padres serta mengancam ratusan rumah.
Setakat ini, kebakaran baharu itu telah memusnahkan 4,856 ekar kawasan dan masih belum dapat dikawal.
Penyelia Daerah Los Angeles, Kathryn Barger menggesa penduduk agar mematuhi arahan pemindahan yang dikeluarkan.
“Kebakaran #CanyonFire sedang merebak pantas dalam cuaca panas melampau dan kering berhampiran sempadan Ventura–Los Angeles.
“Jika anda berada di Santa Clarita, Hasley Canyon atau Val Verde, ambil serius arahan pemindahan – apabila penyelamat minta keluar, sila pergi segera,” tulisnya di X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter).
Kebakaran ini menyusuli insiden pada Julai lalu yang turut memusnahkan lebih 70,000 ekar dan memerlukan ratusan anggota bomba untuk mengawal keadaan.
Ketika itu, pihak berkuasa menjelaskan bahawa cuaca panas, angin kencang dan belukar kering menjadi punca api sukar dikawal.
Sebelum itu, beberapa kebakaran lain juga berlaku, menimbulkan kebimbangan bahawa musim kebakaran kali ini bakal menjadi lebih buruk, dengan negeri itu masih terkesan akibat kebakaran yang meragut 30 nyawa pada Januari lalu. – AFP