farid_noh@bh.com.my
Johor Bahru: Cuaca mendung dan hujan tidak menghalang orang ramai membanjiri tapak Karnival Jom Heboh (KJH) X Hari Nanas Malaysia di sini, hari ini.
Buat pertama kalinya, Hari Nanas Malaysia diraikan secara besar-besaran dalam suasana penuh warna dengan kemeriahan di KJH, sekali gus mengangkat buah tropika kebanggaan negara ke satu tahap yang lebih tinggi.
Karnival anjuran Media Prima Berhad (MPB) yang berkonsepkan skala mega dibawakan khas oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) itu, bermula seawal jam 9 pagi berlangsung sejak semalam hingga esok, dengan pelbagai pengisian serta hadiah dan aktiviti menarik.
Tinjauan NSTP mendapati perkarangan Padang B, Angsana Johor Bahru Mall dipenuhi ribuan orang ramai sejak ia bermula jam 9 pagi.
Paling menarik perhatian adalah dekorasi ‘Gunung Nanas’ oleh LPNM bersebelahan reruai agensi berkenaan yang mengumpulkan lebih 30,000 buah nanas yang disusun seperti gunung.
Orang ramai dilihat tidak melepaskan peluang mengambil foto kenangan di ‘Gunung Nanas’ selain dekorasi landskap pelbagai pokok hiasan bromeliad, sejenis tumbuhan spesis nanas, yang terkenal dengan warna daun dan corak yang unik.
Reruai LPNM turut menggamit kunjungan ramai berikutan pameran menarik membariskan pelbagai jenis produk makanan dan hiliran berasaskan nanas termasuk produk kesihatan.
Ketua Unit Komunikasi Korporat LPNM, Ary Putra Tajuddin, berkata pameran reruai LPNM memfokuskan tentang pelbagai manfaat nanas bertujuan mendidik pengunjung terutama generasi muda.
Katanya, bukan sahaja produk hiliran dan makanan berasaskan nanas dipamerkan malah pelbagai informasi mengenai kegunaan nanas turut disertakan.
“Bagi pameran membabitkan bukan makanan, LPNM menyediakan contoh ‘pinapeat’ iaitu sisa nanas kering yang boleh dijadikan pelet makanan haiwan termasuk lembu, kambing, ayam, arnab dan ikan selain boleh dijadikan bongkah cendawan.
“Contoh silaj iaitu sisa makanan nanas untuk dijadikan baja kompos juga turut dipamerkan. Informasi sebegini tidak ramai yang tahu dan pameran di reruai LPNM memberikan ilmu serta penerangan berguna kepada masyarakat untuk dijadikan idea inovasi dan pengetahuan am mereka.
“Selain ini, LPNM juga menyediakan terbitan kami untuk diberikan secara percuma iaitu buku cerita Hana dan Dunia Nanas yang sesuai dengan kanak-kanak selain buku resepi berasas nanas untuk golongan wanita dan mereka yang gemar memasak,” katanya.
Sementara itu, penjawat awam, Mohd Faizal Junaidi, 38, berkata beliau sekeluarga yang tinggal di Kluang, tidak pernah melepaskan peluang untuk mengikuti KJH yang diadakan di Johor Bahru.
Katanya, beliau, isteri dan empat anaknya sememangnya peminat KJH sejak ia mula dianjurkan sehinggalah KJH berkolaborasi dengan Hari Nanas Malaysia anjuran LPNM.
“Saya sekeluarga teruja untuk hadir ke KJH 2025 di sini kali ini kerana buat pertama kalinya ia diadakan bersempena Hari Nanas Malaysia.
“Isteri saya teruja melihat dekorasi dan hiasan pelbagai tumbuhan nanas yang indah kerana mempunyai hobi menanam pokok malah kami juga teruja menunggu program pengagihan nanas dan kuih tart percuma yang bakal disenaraikan dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) petang ini.
“Selain menghabiskan cuti hujung minggu bersama, kami juga mahu meninjau reruai menarik dan mencuba pelbagai makanan yang dijual sebelum pulang malam nanti,” katanya.
Tamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




