Ribut Artik badai AS, ribuan terputus bekalan elektrik

Ribut Artik badai AS, ribuan terputus bekalan elektrik

WASHINGTON: Ribut musim sejuk membadai sebahagian besar Amerika Syarikat (AS), membawa angin berais dan salji tebal yang mengganggu perjalanan dan menyebabkan ribuan penduduk terputus bekalan elektrik.

Salji setebal 25.4 sentimeter melitupi kawasan di sekitar Iowa dengan ramalan meteorologi menyifatkannya sebagai cuaca musim sejuk yang mengancam nyawa.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) mengeluarkan amaran cuaca di hampir setiap negeri yang menjejaskan lebih 70 juta penduduk.

Menurut perkhidmatan pengesanan penerbangan FlightAware, cuaca ekstrem memaksa pembatalan lebih 2,000 penerbangan, kebanyakannya dijadualkan terbang dari Chicago.

Hampir 200,000 orang terputus bekalan elektrik sejak petang Jumaat, dengan Michigan dan Wisconsin paling terjejas.

Bekas Presiden, Donald Trump turut membatalkan tiga daripada empat acara kempen di Iowa dengan calon lain, termasuk Nikki Haley dan Ron DeSantis juga terpaksa berbuat demikian kerana cuaca ekstrem di negeri itu.

Ribut itu dijangka bergerak ke timur laut menuju Kanada, menjejaskan sebahagian Ontario dan Quebec.

Di Texas, NWS mengeluarkan amaran angin sejuk dengan suhu menurun sehingga -32 darjah Celsius yang boleh mencetus hipotermia dan radang dingin atau frosbite.

Suhu dengan angin sejuk di  Whistler, British Columbia pula dilaporkan menurun sekitar -50 darjah Celsius sejak Khamis lalu.

Bandar Edmonton di Alberta diramal berdepan hari paling sejuk dalam tempoh lebih 50 tahun, dengan Environment Canada memberi amaran suhu mencecah -40 darjah Celsius. 

“Suhu sejuk melampau menyebabkan beberapa siri gangguan, termasuk pembatalan penerbangan keluar dari Calgary dan penutupan sistem pengendalian udara di sebuah hospital di Edmonton hingga pesakit di jabatan kecemasan terpaksa dipindahkan,”  jelas jurucakap bandar itu.-AGENSI