am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan perselisihan dalaman yang membabitkan rakan komponennya iaitu MIC sudah pun selesai.
Beliau berkata, kesediaan MIC untuk hadir dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 serta ‘pre-council’ membabitkan wakil rakyat BN, menzahirkan kesetiaan parti itu kepada BN.
“Sewaktu PAU, MIC juga diwakili oleh Timbalan Presidennya (Datuk Seri M Saravanan). Pagi tadi, apabila kami mengadakan ‘pre-council’, Ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), MIC juga datang.
“Bukan hanya menghantar ADUN, Ahli Parlimen dan Senator, tetapi MIC juga sudah menghantar Timbalan Presidennya untuk mewakili MIC.
“Ini memperlihatkan bahawa ribut di dalam cawan itu sudah selesai dan ini ditambah oleh berita gembira (penyertaan Parti Progresif Penduduk (PPP) ke dalam BN) pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Parti Progresif Penduduk (PPP) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Turut sama hadir pada majlis perasmian itu, Presiden PPP, Datuk Dr Loga Bala Mohan; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Ketua Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh.
Pada November lalu, Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan keluar atau kekal dalam BN.
Bagaimanapun, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
MIC menyertai Parti Perikatan bersama UMNO dan MCA pada 1955, sebelum gabungan itu berkembang menjadi Barisan Nasional pada 1973 dengan penyertaan lebih banyak parti komponen.
© New Straits Times Press (M) Bhd




