'Ribut dan hujan lebat malam ini sangat menakutkan'

'Ribut dan hujan lebat malam ini sangat menakutkan'

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Beberapa daerah di negeri ini dilanda ribut dan angin kencang malam ini menyebabkan banyak pokok tumbang, dan menghalang laluan.

Berdasarkan laman sosial Facebook (FB), orang ramai turut memuat naik status berkaitan kejadian angin kencang yang melanda daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena, Baling, Sik dan Yan.

Seorang penduduk Tanjung Kapur, Jitra, Sofiah Yaakob, 50, berkata, hujan lebat disertai angin kencang yang berlaku jam 8 malam agak menakutkan.

Katanya, kejadian itu turut menyebabkan laluan dari kampung itu ke Jitra terhalang akibat pokok tumbang.

“Pasukan penyelamat dilihat turut ke lokasi untuk membersihkan laluan itu tidak lama kemudian.

“Walaupun hujan sudah berhenti ketika ini tetapi rasa takut masih ada kerana tak pernah lagi melihat angin kuat seperti itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, penduduk di Alor Setar, Shahrizal Hashim, 40, berkata, angin kencang yang berlaku malam ini sangat kuat dan dia terpaksa menangguhkan perjalanan untuk pulang bekerja malam ini.

Katanya, dia yang sepatutnya pulang ke rumah pada jam 8 malam terpaksa pulang sekitar jam 9.30 malam berikutan hujan lebat yang disertai angin kencang.

“Saya menunggang motosikal dari Jitra ke Alor Setar dan risau juga apabila melihat banyak kejadian ribut dimuat naik di media sosial.

“Bimbang keselamatan diri, saya duduk dulu di tempat kerja dan apabila hujan reda, saya terus balik ke rumah,” katanya.

Difahamkan, setakat ini pasukan penyelamat turut melakukan kerja-kerja membersihkan pokok tumbang susulan angin kencang dan hujan lebat yang melanda di beberapa daerah malam ini.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini turut pun mengeluarkan amaran ribut petir pada jam 7.50 malam dijangka berlaku di negeri Perlis, Kedah iaitu di Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Padang Terap malam ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top