Ribut, hujan batu rosakkan rumah penduduk

Ribut, hujan batu rosakkan rumah penduduk

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Ribut berserta hujan batu yang melanda Kampung Kebor Air, di sini hari ini mengakibatkan beberapa rumah penduduk rosak, termasuk dihempap pokok tumbang.

Ismail Embong, 79, berkata, dalam kejadian 2.30 petang itu, dia dan adiknya, Lijah, 72, terselamat selepas sempat masuk ke dalam rumah.

“Ketika itu saya dan adik berada di luar rumah, bersembang dengan jiran sebelum dikejutkan dengan ribut yang datang sekali dengan hujan air batu.

“Kami masuk ke dalam rumah dan ketika berada di dapur, tiba-tiba saya dengar bunyi kuat di beranda rumah dan mendapati sebatang pokok mempelam tumbang. Mujurlah kami tidak berada di situ ketika itu,” katanya memaklumkan rumah itu turut didiami bersama seorang lagi adiknya, Mamat, 75.

Ismail berkata, selain rosak struktur rumah, rumah berusia lebih 50 tahun itu juga rosak kira-kira 30 keping atap dengan ada antaranya diterbangkan angin.

Warga emas itu yang menganggarkan kerugian ribuan ringgit berharap ada pihak sudi bantu membaiki kediaman mereka.

Seorang lagi mangsa, Zabidah Omar, 65, berkata, dia sedang bekerja di sebuah jabatan kerajaan di sini apabila anaknya menghubungi memaklumkan atap rumah mereka diterbangkan angin.

Katanya, dia bergegas pulang dan mendapati rumah sudah dipenuhi air, manakala terdapat serpihan atap yang pecah bertaburan di tanah.

“Ini kejadian kedua berlaku di kampung ini selepas kejadian pertama kira-kira lima tahun lalu,” katanya.

Menurut penduduk, Sharifah Dayang Zubaidah Syed Mohamad, 35, dianggarkan 20 rumah rosak akibat ribut dan hujan lebat itu yang berlangsung kira-kira 15 minit.

Dia turut menggambarkan bunyi angin yang kuat berserta hujan batu dan guruh ketika itu sangat menakutkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top