Amerika Syarikat: Rakyat Malaysia di Amerika Syarikat (AS) diminta mematuhi garis panduan keselamatan dan amaran mengenai keadaan berbahaya dan licin yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan susulan kejadian ribut salji di beberapa kawasan di negara itu.
Menurut kenyataan Kedutaan Malaysia di AS, ia menasihati rakyat Malaysia di kawasan terjejas agar mengambil langkah berjaga-jaga serta merancang aktiviti lebih awal berdasarkan garis panduan keselamatan tersebut yang berbeza mengikut kawasan.
“Setakat ini kedutaan tidak menerima sebarang permohonan bantuan daripada rakyat Malaysia susulan cuaca buruk di beberapa kawasan di AS.
“Kami juga tidak menerima laporan mengenai rakyat Malaysia terperangkap atau hilang disebabkan keadaan tersebut setakat ini,” demikian menurut kenyataan itu yang dihantar kepada Bernama di Kuala Lumpur.
Menurut kedutaan, berdasarkan maklumat yang diperoleh, rakyat Malaysia di AS mematuhi garis panduan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan di kawasan masing-masing.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan kejadian ribut salji yang telah menjejaskan kawasan dari tengah selatan ke pantai timur AS, termasuk Texas, Arkansas, Louisiana, Mississippi, North Carolina, Virginia dan Virginia Barat termasuk District of Columbia.
Sumber- Bernama
Malay News
World Desk


