am@hmetro.com.my
Bukit Gantang: Sebanyak 145 kediaman membabitkan 10 kawasan di sekitar Parlimen Bukit Gantang mengalami kerosakan teruk akibat dilanda ribut petang kelmarin.
Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, pihaknya menganggarkan kos membaik pulih keseluruhan rumah yang rosak hampir RM1 juta dan ribut kali ini adalah yang terburuk berlaku di kawasannya.
Menurutnya, pihaknya terpaksa menggunakan dana sendiri terlebih dulu bagi membaik pulih semula kediaman yang rosak.
“Jika nak tunggu bantuan dari agensi kerajaan sudah pasti tak cukup dan lambat manakala keadaan cuaca pula tidak menentu
“Ditambah pula sekarang ini bulan Ramadan, penduduk yang majoritinya umat Islam nak menyambut Aidilfitri tak lama lagi.
“Justeru kita mendahulukan modal sendiri dan akan dituntut daripada pihak kerajaan kemudian,” katanya selepas menyampaikan bantuan awal kepada 145 mangsa yang terbabit dalam kejadian ribut di Dewan Serbaguna Taman Kaya, di sini, semalam.
Beliau berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat menyalurkan segera peruntukkan bagi membolehkan kerja membaik pulih dijalankan dengan lancar sebelum Syawal nanti.
Sementara itu, mangsa ribut dari Kampung Batu 2 1/2, S Kanageswary, 27, berkata, ketika kejadian dia tinggal bersama tiga anaknya yang berusia antara 5 tahun hingga dua bulan.
“Semasa ribut melanda saya hanya fikir nak selamatkan anak-anak yang menangis ketakutan kerana hujan lebat dan angin kuat melanda selama beberapa minit minit.
“Bumbung rumah kami memang habis diterbangkan angin dan kini semua terpaksa tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




