London: Declan Rice berharap tahun 2025 membawa trofi untuk Arsenal namun dia tahu mereka memerlukan bantuan untuk menghalang Liverpool yang sedang memacu untuk meraih gelaran Liga Perdana.
The Gunners naik ke tempat kedua dalam liga selepas kemenangan 1-0 mengatasi Ipswich namun mereka masih ketinggalan enam mata di belakang Liverpool yang juga mempunyai kelebihan satu perlawanan.
Arsenal menamatkan musim sebagai naib juara di belakang Manchester City dalam dua musim terakhir dan Rice ingin mengakhiri status mereka sebagai pasukan hampir juara pada tahun baru.
“Harapnya tahun baru membawa trofi kerana kami berusaha untuk itu. Untuk melangkah ke tahap seterusnya dan berada di kalangan yang terbaik, anda perlu memenangi sesuatu.
“Kami boleh terus menang perlawanan, tetapi itu tidak bermakna apa-apa jika kami tidak memenangi apa-apa.
“Liverpool sedang beraksi dengan penuh kekuatan, mereka sudah begitu di bawah (Jurgen) Klopp dan kini dipimpin (Arne) Slot. Mereka tidak membenarkan sesiapa untuk bernafas.
“Kami memerlukan bantuan supaya mereka boleh kehilangan mata, kerana kami hanya boleh fokus kepada diri sendiri dan berharap sesuatu akan berlaku,” kata pemain tengah England itu kepada Amazon Prime.
Peluang Arsenal untuk mengejar Liverpool yang hanya tewas sekali dalam 17 perlawanan Liga Perdana di bawah Slot sedikit terganggu dengan kecederaan hamstring serius yang dialami Bukayo Saka.
Pemain sayap England itu dijangka akan berehat sekurang-kurangnya beberapa minggu dengan kebimbangan bahawa dia mungkin tidak kembali sebelum Mac.
Rice berkata bahawa pemain lain kini perlu mengambil tanggungjawab tambahan dalam ketiadaan Saka dan percaya prestasinya semakin baik selepas pulih daripada keletihan fizikal dan mental akibat perjalanan England ke final Euro 2024.
© New Straits Times Press (M) Bhd
