Rider Ducati jatuh ‘flyover’ ada ilmu permotoran, kerap berjemaah di masjid

Rider Ducati jatuh ‘flyover’ ada ilmu permotoran, kerap berjemaah di masjid

Penunggang motosikal berkuasa tinggi yang meninggal dunia selepas terjatuh dari jejambat Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE), Kuala Lumpur tengah hari semalam mempunyai ilmu dan kemahiran dalam bidang permotoran.

Difahamkan, mangsa Ahmad Fadzil Omar Azadin, 64, memiliki hobi bagi mengendalikan motosikal jenis Ducati Panigale itu selain kerap menunggang bersama rakan-rakan sekiranya mempunyai waktu terluang.

Salah seorang rakan, Mohd Said Mohd Shariff berkongsi mengenai perkara itu menerusi sebuah hantaran di laman Facebook menyifatkan arwah adalah individu yang menyenangkan serta banyak pengalaman dalam menunggang motosikal.

“Ramai yang mengenalinya terutama sahabat-sahabat riding. Beliau merupakan seorang sahabat yang cool malah saya menganggapnya sebagai seorang abang dan menghormatinya.
“Awal-awal riding sekitar 2016-2017 banyak yang sy pelajari hasil daripada kerap mengekori beliau dari belakang,” tulisnya dengan memuat naik beberapa keping gambar bersama Allahyarham Ahmad Fadzil.

Dalam masa sama, Mohd Said juga menceritakan tentang keperibadian arwah yang mementingkan agama termasuk sering melakukan solat jemaah di masjid, menyertai majlis ilmu serta membaca al-Quran pada setiap hari.

Sementara itu, seorang pengguna laman Twitter WaryZkri memaklumkan bahawa Allahyarham Ahmad Fadzil adalah salah seorang jemaahnya dan mereka sempat bertemu di masjid sehari sebelum kejadian.

Terdahulu, siasatan awal mendapati mangsa cuba mengelak sebuah motosikal dari arah bertentangan dalam keadaan melawan arus sebelum melanggar penghadang sebelah kiri jalan dan terhumban dari atas jejambat pada ketinggian lebih kurang 30 meter.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di belakang pagar Stesen Kawalan SMART Sungai Kelang dalam keadaan cedera parah pada bahagian kaki.

Sumber: Facebook Mohd Said Mohd Shariff, Twitter @WaryZkri, Berita Harian (Safeek Affendy Razali)