am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon, Riena Diana, 29, menempelak seorang individu yang menghina penghuni Program Perumahan Rakyat (PPR).
Menurut Riena yang pernah menetap di PPR Air Panas, Setapak selama dua tahun, dia tidak pernah berdepan pengalaman buruk ketika tinggal di kawasan berkenaan.
“Saya bangga dengan ayah saya yang jaga saya, adik dan nenek ketika itu. Masa itu, di situ saja yang dia mampu (sediakan),” tulisnya.
Riena turut berkongsi pengalamannya bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai mainan demi mencari rezeki.
Meskipun dia sering pulang lewat malam dan terpaksa meletakkan kenderaan di tempat yang jauh, dia tetap bersyukur kerana keselamatannya sentiasa terpelihara.
“Saya hari-hari balik kerja lewat malam, (saya) parking (letak kereta) jauh. Alhamdulillah selamat dan sikit pun saya tak pernah mengeluh,” tulisnya lagi.
Menerusi hantarannya di Threads, teraju drama Kampung People ini menitipkan pesanan kepada individu terbabit agar berfikir sebelum menulis sesuatu yang boleh mengguris hati pihak tertentu.
“Mungkin lain kali jaga percakapan awak sebelum tulis sesuatu. Tak semua orang ada rezeki macam awak nak duduk di tempat mewah dan tempat tak busuk,” tulisnya.
Terdahulu, seorang pengguna Threads memuat naik sebuah hantaran yang mempersoalkan bagaimana penghuni di PPR itu mampu bertahan dalam kawasan persekitaran yang kurang menyenangkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




