Pelakon Riena Diana menarik perhatian ramai apabila memuat naik sepotong video pendek di Instagram miliknya baru-baru ini.
Dalam video tersebut, Riena dilihat sedang menggendong seorang bayi perempuan, sambil meninggalkan kapsyen seakan memberi ‘hint’ kepada kekasihnya yang juga pelakon, Keith Foo, agar merealisasikan impiannya itu.
“Cepat la Keith Foo, nak satu macam ni. Tak nak Walid. Janji comel,” tulis Riena berseloroh.
Menyedari hantaran berkenaan ditujukan kepadanya, Keith Foo bagaimanapun sempat meninggalkan respons.
“Very soon, sayang,” tulisnya.
Namun, hasil tinjauan XTRA, hantaran berkenaan telahpun dipadam oleh Riena selepas beberapa jam dimuat naik.
Malah, pelakon utama drama Bidaah itu dilihat seakan tidak mahu memanjangkan isu, meskipun menerima pelbagai reaksi netizen.
“Nak ada anak dan keluarga itu impian setiap wanita. Kau orang kecohlah… aku report dekat Walid kejap lagi,” katanya.
Selain itu, Riena atau nama penuhnya Nur Qamarina Diana Zulreal, 27, turut memuat naik ‘quotes’ mengenai rezeki dalam kehidupan, termasuk berkaitan soal zuriat dan perkahwinan.