Rifdean atasi Bernueng ONE Friday Fights 118

Rifdean atasi Bernueng ONE Friday Fights 118

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Atlet muay thai negara, Rifdean Masdor meneruskan langkah cemerlang apabila merekodkan kemenangan keempat dan kedua berturut-turut dalam ONE Championship.

Rifdean, 22, menampilkan persembahan bertenaga untuk menumbangkan bintang remaja Thailand, Bernueng dalam kategori atomweight aksi ONE Friday Fights 118 di Stadium Lumpinee, Bangkok, sebentar tadi.

Kemenangan itu diraih menerusi keputusan majoriti daripada barisan juri selepas tiga pusingan pertarungan.

Dalam dua pusingan awal, Rifdean mempamerkan corak agresif dan kawalan gelanggang yang meyakinkan, menyebabkan lawannya yang berusia 17 tahun bergelut menyaingi rentaknya.

Walaupun sedikit mengendurkan asakan pada pusingan ketiga dan lebih banyak bertahan, Rifdean tetap berjaya mengekalkan kelebihan untuk melakar kemenangan penting dalam karier profesionalnya.

Ini adalah pertarungan kelima Rifdean dalam ONE Championship dengan rekod empat kemenangan dan satu kekalahan yang hadir pada Januari lalu menerusi keputusan majoriti kepada Petninmungkorn NamkangIceland dalam ONE Friday Fights 93.

Pertarungan terakhirnya sebelum ini menyaksikan dia menumbangkan petarung Laos, Nongbia LaoLaneXang dalam ONE Friday Fights 107, Mei lalu.

Di sebalik kemenangan terkininya, Rifdean masih belum ditawarkan kontrak rasmi oleh ONE Championship dan tidak menerima sebarang bonus kemenangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top