syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Kamal Adli, meluahkan rasa bahagia kerana sempat meluangkan masa dengan anaknya, Hawra Uqaira selepas lebih dua minggu tidak bertemu dengan cahaya matanya itu.
Kamal, 40, ketika ditemui di acara Pertunjukan Fesyen Jakel Raya 2026 turut mengucapkan terima kasih kepada bekas isterinya, Uqasha Senrose.
“Hari ini saya gembira kerana sebelum datang ke sini, saya sempat berjumpa dengan Hawra.
“Sebab itu saya lambat tadi, kerana saya bermain-main dengannya. Seronok, selepas hampir 15 hari tidak berjumpa.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Uqasha kerana memberi peluang untuk saya meluangkan masa bersama Hawra,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, dia sempat meluangkan masa selama lebih tiga jam bersama Hawra di bawah kediaman bekas isterinya itu.
“Saya sempat luangkan masa dari jam 2 petang hingga 5.30 petang dan hanya bermain dengannya.
“Dia kelihatan seperti hendak terkena cacar air, jadi kami hanya bermain di taman permainan di bawah rumah sahaja,” katanya.
Walaupun tidak dapat bermalam bersama anaknya, pertemuan ringkas ini juga sudah cukup membahagiakannya walaupun Hawra pada awalnya sedikit dingin.
“Dapat memegang, berjumpa dan meluangkan masa seperti ini pun saya sudah sangat gembira. Saya sudah gembira.
“Cuma tadi, pada mulanya Hawra agak dingin. Tetapi apabila hendak beredar, dia tiba-tiba menangis dan tidak mahu berpisah.
“Waktu itu saya terdiam seketika dan akhirnya menangis bersama-sama dengannya. Dia menangis, saya pun menangis,” katanya.
Kesibukan dengan penggambaran filem Takluk 2: Lahad Datu, tidak menghalangnya untuk mencuri waktu bersama anaknya tanpa sebarang halangan.
“Buat masa ini, apabila saya ada masa lapang, seperti hari ini, saya baru sampai dari Kuantan dan terus menghantar mesej kepada Uqasha.
“Jadi setiap kali ada masa lapang, saya akan mencari ruang dan masa untuk berjumpa dengan Hawra sahaja.
“Esok saya akan jumpa dia lagi, kerana selepas itu saya perlu sambung penggambaran di Lumut. Jadi esok saya memang ingin meluangkan masa dengannya.
“Tidak ada sebarang halangan. Rasanya ibunya juga bekerja, jadi mungkin saya boleh mengambil peluang itu untuk menjaga Hawra sekejap,” katanya.
Kamal kini salah seorang duta untuk koleksi Aidilfitri Jakel 2026 di samping barisan selebriti lain antaranya, keluarga Nabil Ahmad, Elly Mazlein, Que Haidar, dan ramai lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




