Rindukan Ayden & Ara, Aliff Aziz Dedah Belum Berpeluang Bertemu Atau Berhubung Secara Langsung Dengan Anak-Anak

Rindukan Ayden & Ara, Aliff Aziz Dedah Belum Berpeluang Bertemu Atau Berhubung Secara Langsung Dengan Anak-Anak

Penyanyi dan pelakon Aliff Aziz meluahkan rasa rindu yang amat mendalam terhadap kedua-dua anaknya, Ayden Adrean, 8 dan Ara Adreanna, 5, yang dikatakan tidak lagi berhubung dengannya sejak tahun 2024.

Dalam temu bual bersama Berita Minggu (BM) Singapura, Aliff mendedahkan dia masih belum berpeluang untuk bertemu atau berhubung secara langsung dengan Ayden dan Ara.

Malah, katanya, menonton video mereka sehingga habis sering kali menjadi sesuatu yang terlalu menyentuh perasaan.

Aliff sentiasa mengikuti perkembangan mereka dari jauh, terutamanya apabila tiba tarikh ulang tahun kelahiran iaitu 8 Julai untuk Ayden dan 18 Julai untuk Ara.

“Saya rindu sangat. Doa saya setiap hari adalah untuk dapat lihat mereka semula dan sampaikan segala yang saya simpan dalam hati.

“Daddy sentiasa ingat dan mendoakan Ayden dan Ara… I love you so much and I miss you,” luahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Jika Itu Kebahagiaan Buat Mereka, Saya Reda” – Luahan Hati Aliff Aziz Terhadap Bella Astillah, Syed Saddiq

Aliff juga menyatakan harapan agar satu hari nanti takdir mempertemukan mereka semula, supaya dirinya dapat menjelaskan perkara-perkara yang selama ini dipendam.

Dalam pada itu, Aliff juga mengaku berasa bersalah kerana tidak dapat menyaksikan momen penting dalam pembesaran anak-anaknya.

Pelantun lagu Jangan Ganggu Pacarku itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap bagaimana penerimaan mereka nanti, terutama apabila persepsi masyarakat terhadap dirinya sering bercampur aduk.

Aliff berdepan dilema, sama ada terus berdiam diri demi menjaga keharmonian keluarga, atau mengambil tindakan undang-undang yang mungkin hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Kini, fokus utama Aliff bukan lagi kepada hal-hal sensasi atau isu luar, sebaliknya lebih kepada proses pemulihan diri dan membina semula kehidupannya.

Dalam perkongsian sama, Aliff turut menzahirkan penghargaan kepada ibunya kerana terus memberi sokongan walaupun keluarga mereka turut terpalit dengan perhatian ramai akibat kontroversi yang berlaku.

Pelakon drama bersiri Meh Sandar Pada Aku turut menyedari tekanan yang turut dirasai keluarganya dan bertekad untuk bangkit serta menjadi insan yang boleh mereka banggakan suatu hari nanti.

Aliff juga menyentuh mengenai tekanan yang datang daripada naratif media dan persepsi awam terhadap kehidupan peribadinya.
“Kadang-kadang saya nak cerita semuanya. Tapi bila fikirkan kesan terhadap anak-anak dan keluarga, saya jadi serba salah,” luahnya.

Pihak Berita Minggu turut cuba mendapatkan komen Bella berhubung kenyataan Aliff, namun tidak menerima sebarang maklum balas setakat ini.

Sumber: Berita Minggu Singapura

Scroll to Top