RINGGIT memulakan urus niaga hari ini dengan susut sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), diasak oleh pengukuhan dolar susulan peningkatan keyakinan pengguna di negara maju itu serta kebimbangan berterusan terhadap isu tarif global.
Pada jam 8.05 pagi, ringgit turun ke paras 4.2350/2500 berbanding dolar AS, berbanding 4.2345/2430 pada penutupan semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Dolar AS (DXY) meningkat sebanyak 0.59 peratus kepada 99.521 mata malam tadi, mencerminkan pemulihan sederhana meskipun masih di bawah paras 100 mata.
“Peningkatan ini sejajar dengan data terkini Indeks Keyakinan Pengguna oleh Lembaga Persidangan AS yang naik kepada 98 mata, didorong terutamanya oleh prestasi kukuh pasaran saham sejak awal April dan penurunan harga petrol,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, para penganalisis kekal berhati-hati, katanya.
Pada akhir urus niaga semalam, ringgit susut 0.47 peratus kepada RM4.2388 berbanding dolar AS daripada RM4.2190 sebelumnya, selepas peniaga memilih untuk mengambil keuntungan susulan kenaikan baru-baru ini.
“Walaupun keyakinan pengguna menunjukkan pemulihan, ekonomi AS masih berdepan risiko penurunan akibat tekanan inflasi yang berpunca daripada dasar tarif.
“Dalam senario pengukuhan dolar AS dan ketidaktentuan luaran yang berterusan, ringgit dijangka kekal diasak tekanan dan diniagakan dalam julat kecil 4.22-4.23 berbanding dolar AS hari ini,” katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan mengukuh berbanding beberapa mata wang utama dunia.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9391/9500 daripada 2.9425/9486, naik berbanding euro kepada 4.8012/8182 daripada 4.8053/8150, dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7228/7430 daripada 5.7352/7467.
Bagaimanapun, ringgit diniagakan secara bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN lain.
Berbanding dolar Singapura, ringgit mengukuh kepada 3.2870/2989 daripada 3.2894/2963, namun rendah berbanding baht Thailand kepada 12.9471/13.0025 daripada 12.9365/9676.
Ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.62/7.65 dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia pada 259.9/261.0 daripada 259.9/260.6. – Bernama