PASARAN pertukaran mata wang asing dijangka kekal dalam sentimen berhati-hati minggu depan, termasuk kemungkinan ringgit dalam julat RM4.00 hingga RM4.05 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan perang di Iran yang masuk minggu kelima.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ini susulan pengumuman maklumat mengenai Data Penggajian Bukan Perladangan AS malam tadi yang akan menjadi panduan bagi Kadar Dana Persekutuan negara maju itu pada akhir April.
Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Biro Perangkaan Tenaga Kerja AS, ekonomi AS menambah 178,000 pekerjaan pada Mac, melebihi jangkaan sebanyak 60,000.
Bagaimanapun, angka Februari disemak rendah dengan pengurangan 133,000 pekerjaan berbanding penurunan sebanyak 92,000 yang dilaporkan sebelum ini.
Kadar pengangguran AS rendah sedikit kepada 4.3 peratus daripada 4.4 peratus.
Data terkini itu mengukuhkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) akan kekal berhati-hati sebelum melaksanakan sebarang pengurangan kadar faedah susulan risiko inflasi didorong harga minyak yang berterusan.
Hal itu menyebabkan pelabur mengurangkan jangkaan terhadap pengurangan kadar faedah dan semakin mengambil kira tempoh jeda yang lebih panjang, dengan kadar faedah kini dilihat kekal bagi sepanjang 2026, yang berpotensi memberikan lagi sokongan kepada dolar AS.
Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) menjangkakan ringgit bergerak dalam julat hampir RM4.05 berbanding dolar AS berikutan ketegangan geopolitik selain risiko bekalan.
“Ringgit cenderung ke arah RM4.05 berbanding dolar AS berikutan retorik geopolitik yang giyah dengan risiko bekalan menekan sentimen tempatan,” menurut bank pelaburan itu.
Dalam pada itu, laporan gencatan senjata yang bercanggah susulan ketegangan baharu, telah menjejaskan minat terhadap risiko.
Harga minyak mentah Brent yang pada masa ini kekal melebihi AS$100 setong terus menyebabkan kebimbangan mengenai inflasi global selain turut memberi kelebihan dari segi pengukuhan dolar AS.
Berikutan itu, pelabur lebih memilih untuk mengekalkan kedudukan bertahan dalam dolar AS sementara menunggu keadaan lebih jelas mengenai jaminan Iran berkaitan laluan perkapalan serantau, menurut Kenanga IB.
Selain itu, dari segi perbandingan mingguan, ringgit mengakhiri urus niaga dengan lebih rendah lebih rendah berbanding dolar AS pada 4.0295/0350 semalam daripada 4.0105/0140 pada akhir minggu sebelum ini.
Ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain pada minggu ini.
Ini termasuk naik berbanding pound Britain kepada 5.3326/3399 daripada 5.3368/3414 sebelum ini, rendah berbanding yen Jepun kepada 2.5247/5285 daripada 2.5084/5109 pada Jumaat lepas dan susut nilai berbanding euro kepada 4.6513/6576 daripada 4.6197/6237.
Berbanding mata wang negara ASEAN, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1341/1389 daripada 3.1164/1194 minggu lepas, rendah berbanding baht Thailand kepada 12.3585/3841 daripada 12.1903/2077, turun berbanding rupiah Indonesia kepada 237.2/237.7 daripada 236.1/236.5 dan rendah berbanding peso Filipina kepada 6.68/6.71 daripada 6.62/6.63. – Bernama



