
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan kembali pulih kepada 4.2140/2195 berbanding dolar AS pada 4.2335/2365 ketika ditutup semalam. Gambar hiasan
RINGGIT menamatkan penurunan dua hari berturut-turut untuk ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis berikutan peningkatan jangkaan mengenai pengurangan kadar faedah di AS bulan depan, dan menjelang laporan penting mengenai inflasi AS esok.
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan kembali pulih kepada 4.2140/2195 berbanding dolar AS pada 4.2335/2365 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dilihat lebih kukuh hari ini, terutama ketika sesi petang, meningkat 0.38 peratus kepada RM4.2188.
“Indeks Dolar AS (DXY) turun 0.07 peratus kepada 98.167 mata. Malam ini, anggaran kedua bagi pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS bagi suku kedua akan diumumkan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, dalam anggaran pertama, ekonomi AS diunjurkan berkembang sebanyak tiga peratus daripada -0.5 peratus pada suku sebelumnya.
“Bagaimanapun, sebahagian besar pertumbuhan datang daripada penurunan 30 peratus dalam import, yang membawa kepada sumbangan ketara kepada pertumbuhan daripada eksport bersih yang lebih tinggi. Secara ringkasnya, pertumbuhan lebih tinggi pada suku Jun dilihat lebih dangkal dan tarif yang lebih tinggi telah menjejaskan import dengan serius,” katanya.
Pelabur juga sedang menunggu data Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS esok – laporan inflasi penting – di tengah-tengah peningkatan jangkaan bagi pengurangan kadar faedah di AS pada September.
Pada penutup dagangan, ringgit ditutup lebih rendah berbanding kebanyakan mata wang utama.
Ia merosot berbanding euro kepada 4.9089/9153 daripada 4.9058/9093 ketika ditutup pada Rabu, berkurang berbanding yen Jepun kepada 2.8639/8679 daripada 2.8591/8611, dan susut berbanding pound Britain kepada 5.6893/6967 daripada 5.6890/6930.
Ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN lain.
Mata wang tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2809/2854 daripada 3.2843/2869 semalam, menokok berbanding baht Thailand kepada 13.0142/0364 daripada 13.0330/0474, dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.38/7.39 daripada 7.40/7.41. Ia menambah berbanding rupiah Indonesia kepada 257.6/258.1 daripada 258.6/258.9. – Bernama