
Pada jam 6 petang, ringgit susut kepada 4.2435/2480 berbanding dolar AS daripada 4.2155/2245 ketika ditutup semalam. Gambar hiasan
RINGGIT turun untuk ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di hari dagangan terakhir minggu ini pada Jumaat berikutan peningkatan kebimbangan geopolitik memacu permintaan terhadap dolar AS sebagai mata wang selamat.
Pada jam 6 petang, ringgit susut kepada 4.2435/2480 berbanding dolar AS daripada 4.2155/2245 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, awalnya, ringgit adalah lebih kukuh berbanding dolar AS pada RM4.2173 ketika sesi pagi namun, beransur susut kepada RM4.2460 pada sebelah petang.
“Serangan Israel ke atas kemudahan nuklear Iran mendorong harga minyak mentah Brent meningkat ketara setinggi AS$78.22 setong sebelum turun kepada AS$73.56 setong. Pada masa sama, Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.31 peratus kepada 98.228 mata.
“Oleh yang demikian, geopolitik menjadi tumpuan hari ini dan memberi kelebihan kepada dolar AS buat masa ini,” katanya kepada Bernama.
Pada penutupan dagangan, ringgit ditutup rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.9448/9482 daripada 2.9329/9394 ketika ditutup semalam, dan rendah berbanding pound British kepada 5.7482/7543 daripada 5.7213/7335.
Unit tempatan juga turun berbanding euro kepada 4.8906/8958 daripada 4.8765/8869.
Ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.
Mata wang domestik tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.55/7.56 berbanding 7.55/7.57 semalam, dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3077/3118 daripada 3.2934/3006.
Ringgit lemah berbanding baht Thailand kepada 13.0807/1018 daripada 12.9828/13.0173 dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 260.2/260.6 daripada 259.5/260.2. – Bernama