Ringgit meningkat semula berbanding dolar AS

Ringgit meningkat semula berbanding dolar AS
Ringgit meningkat semula berbanding dolar AS

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 3.9520/9560 berbanding dolar AS daripada 3.9550/9600 semasa ditutup semalam. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit meningkat semula untuk ditutup tinggi berbanding dolar AS menjelang pengumuman anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2026 yang dijadualkan esok.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 3.9520/9560 berbanding dolar AS daripada 3.9550/9600 semasa ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ekonomi Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan yang baik dengan anggaran konsensus sebanyak 5.5 peratus pada suku pertama 2026.

“Oleh itu, ringgit dijangka mendapat sokongan yang baik dalam masa terdekat,” katanya, sambil menambah harapan untuk rundingan pusingan kedua antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran terus menguasai sentimen pasaran hari ini.

Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, pengukuhan ringgit turut disokong oleh sentimen risiko global yang baik yang mula memberi impak kepada dolar AS.

“Kenaikan aset berisiko memberikan sokongan jangka pendek kepada mata wang pasaran sedang pesat membangun, termasuk ringgit manakala Indeks Dolar Asia turut mencatatkan kenaikan, memberi petunjuk kepada pengukuhan mata wang asing serantau yang sederhana,” katanya.

Pada penutup dagangan, mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit mengukuh berbanding pound kepada 5.3506/3560 daripada 5.3614/3682 pada Rabu, meningkat berbanding euro kepada 4.6551/6598 daripada 4.6594/6653 dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.4848/4874 daripada 2.4890/4923 sebelum ini.

Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1069/1103 daripada 3.1095/1139 semalam dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 230.5/230.9 daripada 230.7/231.0.

Bagaimanapun, mata wang tempatan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.3473/3664 daripada 12.3098/3330 dan menurun berbanding peso Filipina kepada 6.59/6.60 daripada 6.58/6.59 sebelum ini.- Bernama 

Scroll to Top