Rita Rudaini dedah tanggung sendiri kos rawatan anak kerana insurans luput

Rita Rudaini dedah tanggung sendiri kos rawatan anak kerana insurans luput

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Rita Rudaini mendedahkan dia terpaksa menanggung sendiri segala kos rawatan anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin, 15, di pusat perubatan swasta di sini kerana polisi perlindungan insurannya sudah luput.

Rita atau nama sebenarnya, Rita Rudaini Mokhtar, 48, berkata, Rayyan memang mempunyai polisi insurans tetapi tidak pernah digunakan sejak bayi lagi.

“Saya sendiri tidak memegang polisi perlindungan insurans berkenaan. 

“Namun, ternyata polisi perlindungan insurans itu sudah ‘tamat’ hampir 13 tahun kerana ‘pembayar’ nya sudah berhenti buat pembayaran,” katanya kepada Harian Metro.

Mengenai polisi insurans lagi, kata Rita, dia juga ada mengambil perlindungan insurans yang lain untuk Rayyan tetapi juga ‘lapsed’ semasa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Saya nekad untuk buat polisi insurans baru untuk Rayyan dengan syarat akaun lama itu ditutup tetapi malangnya ‘pembayar’ itu tidak mahu beri kerjasama walaupun agen insurans sudah beri penerangan, tandatangannya hanya percuma sahaja.

“Jadi, saya tidak dapat buat polisi insurans untuk Rayyan yang sama dengan saya serta adiknya, Airit Qaqa Arjuna, 13,” katanya.

Berkongsi perkembangan kesihatan Rayyan pula, kata Rita, dia bersyukur kerana Rayyan sudah selamat menjalani rawatan sepanjang seminggu di pusat perubatan berkenaan.

Katanya, walau apa pun yang terjadi, dia akan berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk kedua anaknya itu.

“Alhamdulillah, semuanya sudah selamat. Hampir seminggu saya dan adiknya ‘berumah tangga’ di hospital.

“Terima kasih kepada adiknya kerana korbankan masa sekolah dan aktiviti untuk bersama saya menjaga abangnya.

“Saya selalu berpesan pada anak-anak, kita senang sama-sama dan susah pun sama-sana. Kita kena sentiasa ada untuk masing-masing.

“Terima kasih kepada ahli keluarga yang selalu ada untuk kami, terima kasih juga kepada cikgu, doktor dan jururawat,” katanya.

Terdahulu, Rita berkongsi mengenai dirinya terpaksa menanggung segala kos rawatan perubatan anak sulungnya yang bermula dari insiden patah tangan sehingga buka ‘plate’ (buka besi) kerana polisi insurans anaknya sudah luput sekali gus mencuri perhatian netizen di media sosial.

Untuk rekod, hasil perkahwinan terdahulu, Rita dikurniakan dua anak iaitu Airit Rayyan Rizqin, 15 dan Airit Qaqa Arjuna, 13.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top