KUALA LUMPUR: Pelakon Rita Rudaini mempersoalkan kredibiliti kepimpinan Muafakat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar yang didakwa semakin merosot selepas pasukan baharu mengambil alih.
Rita melontarkan persoalan itu melalui akaun Instagram story miliknya hari ini berhubung pasukan Muafakat itu atau dikenali persatuan ibu bapa dan guru di sekolah anaknya.
Beliau mendakwa, Muafakat MRSM Sungai Besar sebelum ini pernah digelar antara pasukan Muafakat terbaik di negara ini, namun kini dikatakan tidak lagi layak memegang gelaran itu.
Katanya, barisan kepimpinan Muafakat yang dilantik pada bulan lalu disifatkan sudah ‘rosak’ apabila dianggotai mereka yang pentingkan jawatan dan kroni mereka.
“Muafakat MRSM Sungai Besar paling teruk. Hilang sudah title (gelaran) Muafakat terbaik antara MRSM di Malaysia.
“Pasukan Muafakat yang sebelum ini juga yang terbaik. Rosak masuk puak-puak kroni ‘gila’ jawatan. Kesian ibu bapa MRSM Sungai Besar,” tulisnya.
Utusan Malaysia sedang mendapatkan penjelasan lanjut daripada pelakon itu berhubung hantarannya itu.
Anak sulung Rita Rudaini, Airit Rayyan Rizqin kini berada di Tingkatan 4 sekolah berkenaan. – UTUSAN